HomeBeritaAyah pukul ibu, kata saksi kes Emilia Hanafi

Ayah pukul ibu, kata saksi kes Emilia Hanafi

KUALA LUMPUR: Saksi kanak-kanak dalam kes keganasan rumah tangga Emilia Hanafi memberitahu Mahkamah Majistret bahawa dia nampak bagaimana bapanya memukul ibunya.

Keterangan itu diberikan oleh saksi yang juga anak kepada Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dalam pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Prosiding tertutup (menerusi kamera) bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu akhirnya selesai selepas dua tahun saksi berkenaan turun naik mahkamah.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam pemerhati mewakili Emilia, Amirul Iman Dollah dari Tetuan Nazri Yahya & Co.

Amirul Iman memberitahu, soalan-soalan yang ditujukan kepada saksi kanak-kanak itu adalah relevan, berkaitan pada hari kejadian 22 November 2015.

“Saksi kanak-kanak berkenaan sudah selesai untuk proses pemeriksaan secara keseluruhannya.

“Dia menjawab dengan tenang dan matang, ada soalan yang diminta ulang semula, ada soalan yang dia jawab tidak.”

“Secara rangkuman, pihak pembelaan mengetengahkan bahawa tertuduh sekadar mempertahankan diri tetapi saksi kanak-kanak itu tidak bersetuju.

“Dia jawab, ayah pukul ibu. Apabila pihak pembelaan bertanya mengenai laporan polis dibuat bapanya, dia jawab tidak tahu berkenaan itu, dia cuma beritahu apa yang dia nampak sahaja.

“Saksi beritahu mahkamah dia nampak bapa pukul ibu, kejadian pukul dilakukan oleh bapa ke atas ibu,” katanya.

SM Faisal (dua kanan) bersama peguam dan pemandu peribadinya.

Untuk rekod, pihak jutawan SM Faisal juga telah memberikan nafkah anak sebanyak RM2,000 sebulan bagi Januari 2023 hingga Jun 2023.

Namun demikian, yuran persekolahan dan perbelanjaan pendidikan anak-anak masih belum dilunaskan termasuk tiada rumah disediakan untuk anak-anak sejak berpisah.

Dalam perkembangan lain, pada awal minggu ini, pihak SM Faisal juga telah menghantar surat peguam dengan pertanyaan apakah hadiah hari jadi pilihan anak-anak? Anak-anak sudah menjawab surat itu menerusi peguam yang mewakili mereka.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan juga Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

Turut hadir, peguam pemerhati Ayzad Zaqwan Zainal dari Tetuan Nazri Yahya & Co dan wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gulab Jan Fazal Eladi.

Manakala barisan pasukan pembelaan SM Faisal diketuai oleh Dato Akberdin bersama-sama Datuk Jagjit Singh.

Perbicaraan berjalan di hadapan Majistret, Nadia Othman.

SM Faisal diiringi penjaminnya yang juga pemandu peribadi.

Beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bagi pemeriksaan balas saksi Elisa Nani akan disambung pada 2 Februari 2023 nanti.

Author

Pilihan Editor