HomeBeritaPolitikApa sebab kita dituduh sebagai pengkhianat - Hishammuddin

Apa sebab kita dituduh sebagai pengkhianat – Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempersoalkan mengapa beliau dan sembilan Ahli Parlimen BN dipanggil pengkhianat susulan mereka menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai perdana menteri.

Beliau berkata kepada pihak media selepas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, mereka telah menarik balik sokongan itu kerana mengikut ketetapan parti.

“Sehingga hari ini saya tak tahu apa sebabnya kita dituduh sebagai pengkhianat. Saya cukup yakin bahawa apa yang telah berlaku, tidak ada benda yang patut kita apologetik sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

“Kalau mereka nak ambil tindakan, ambillah tak ada benda yang saya perlu bimbang,” katanya.

Menurutnya, Akuan Bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin yang ditandangani mereka itu dibuat berdasarkan pendirian awal BN untuk tidak bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

“Kita konsisten sebelum ini kerana peringkat awal usaha nak bersama-sama dengan PH bercanggah dengan pendirian parti sendiri. Jadi kita buat SD berkenaan tetapi bila parti sudah buat keputusan, kita berkecuali pada satu ketika dahulu (tidak menyokong PH atau PN), kita tarik balik SD berkenaan.

“Selepas itu bila Agong bertitah, kita setuju wujudkan Kerajaan Perpaduan. Kita pun anggap itu kehendak parti lalu kita setuju. Jadi, di mana pengkhianatannya?,” soalnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa rakyat sudah muak dan bosan dengan cara parti UMNO dan BN berbalah, bertelagah, menuduh sesama mereka kerana penting untuk parti melihat ke hadapan.

“Kita akan berdepan dengan pilihan raya negeri. Kita sudah kalah dalam pilihan raya umum. Saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.

“Itu lebih baik daripada hanya menggunakan platfom PAU ini untuk bercakaran berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita cukup-cukuplah,” katanya.

Author

Pilihan Editor