KUALA LUMPUR: Pelaksanaan konsep Malaysia Madani yang turut menyentuh keperluan meneroka aspek pendidikan adalah usaha untuk meningkatkan martabat rakyat dan negara ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Farhan Rosli berkata, elemen pendidikan itu diberikan perhatian bagi memastikan ilmu menjadi keutamaan sekali gus melahirkan masyarakat Malaysia yang tinggi dengan budaya ilmu.
“Konsep Malaysia Madani ini tidak cukup dengan hanya memahami enam rukun yang menjadi tonggak dasar ini tetapi juga lapan instrumen lain antaranya ekonomi, kewangan, undang-undang, institusi dan pendidikan.
“Saya rasa ini memang satu kerangka ‘reset’ besar yang ingin dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab kita bukan hanya berhadapan dengan masalah ekonomi dan pendidikan tetapi juga berhadapan permasalahan sistem yang harus diperbaiki,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’ malam tadi.
Ahmad Farhan berkata, pasak kepada enam tonggak konsep Madani adalah rukun kelima iaitu keyakinan yang bakal menyaksikan Malaysia lebih unggul sekiranya keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan keyakinan kerajaan sendiri terhadap potensi rakyat dapat diperkukuh.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil pula berkata, kayu pengukur bagi melihat keberkesanan konsep Madani adalah sama ada kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dapat diperbaiki sekali gus mengembalikan semula keyakinan negara luar dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Bila bercakap soal keyakinan, apabila kedudukan negara terus jatuh dalam CPI maka masalah yang akan berlaku pada negara adalah apa yang disebut Perdana Menteri iaitu tentang ketirisan.
Semalam, Anwar memperkenal ‘Malaysia Madani’ yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar. – BERNAMA