CYBERJAYA: Pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof belum bersedia membawa anak-anaknya bertemu isteri keduanya, Ira Kazar.
Katanya, dengan kemelut rumah tangga yang dialaminya kini membuatkan dia perlu menjaga perasaan isteri-isterinya.
“Ketika ini saya fikir masanya tidak sesuai kerana banyak hati yang perlu dijaga. Dengan keadaan sekarang ini saya perlu jaga sensitiviti.
“Saya perlu betulkan apa yang berkecamuk dengan isteri pertama (Puteri Sarah) dulu, rasa macam tak manis pula kan.
“Tetapi saya tak mahu menipu anak-anak dan tidak ada masalah untuk memperkenalkan Ira sebagai isteri kedua saya,” katanya seperti dilapor Utusan.
Pada masa sama, Syamsul turut memaklumkan dia mahu privasi bersama anak-anaknya terjaga tanpa perlu memuat naik hantaran foto atau video di media sosial.
“Saya tak mahulah kalau muat naik gambar atau video bersama mereka di sosial media, orang sangka yang saya nak tunjuk baik.
“Bila tak buat apa-apa hantaran, orang ingat saya tak fikir pasal anak.
“Sosial media ini bukan catatan kehidupan harian saya pun, jadi saya tak perlu nak muat naik semua benda,” ujarnya.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada Mac 2014, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.