LOS ANGELES: Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan ayam kultur sel kepada pengguna, menurut dua syarikat pemula niaga yang menerima kelulusan pertama itu pada Rabu, lapor Xinhua.
Jabatan Pertanian AS (USDA) memberi kelulusan dianggap penting itu kepada GOOD Meat dan UPSIDE Foods. Kedua-dua syarikat telah menerima pengesahan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) AS dua bulan lebih awal menyatakan ayam kultur kedua-dua syarikat itu selamat dimakan oleh manusia.
“Kelulusan penting ini bermakna ayam keluaran syarikat, yang dihasilkan terus daripada sel haiwan, kini boleh dijual kepada pengguna Amerika,” menurut GOOD Meat dalam satu kenyataan.
Bagi mendapatkan kelulusan untuk menghasilkan dan menjual daging yang diusahakan, pasukan saintis makanan, ahli biologi molekul dan jurutera teknikal UPSIDE Foods perlu lulus tiga langkah pengawalseliaan yang menyeluruh: Surat “Tiada Persoalan” daripada FDA, Kelulusan Label USDA dan Kebenaran Pemeriksaan USDA.
Daging yang dikultur yang juga dikenali sebagai protein berasaskan sel atau kultur di makmal, dihasilkan dengan meletakkan sel stem daripada haiwan di dalam bekas dan dicampur nutrien yang betul untuk membiak dan membesar.
Selepas dua hingga tiga minggu, daging dikumpul, diformulasikan dan sedia dimakan, menurut UPSIDE Foods. – BERNAMA-XINHUA