ISTANBUL: Australia menghantar notis undang-undang kepada Twitter, menuntut penjelasan mengenai apa yang dilakukan gergasi media sosial itu untuk mencegah tahap penyalahgunaan dalam talian.
Pesuruhjaya eSafety Australia, Julie Inman Grant, dalam satu kenyataan berkata, kajian yang dijalankan oleh institusinya mendapati “hampir satu daripada lima warga Australia telah mengalami beberapa bentuk kebencian dalam talian.”
“Tahap penderaan dalam talian ini sudah tidak dapat dimaafkan lagi,” lapor Agensi Anadolu.
Grant turut menggesa Twitter menjelaskan berapa banyak akaun yang sebelum ini diharamkan kerana kebencian.
“Kebencian telah menjadi senjata yang digunakan selama berabad-abad dengan memberikan kesan yang buruk, menyerang orang berdasarkan kaum, kepercayaan atau identiti.
“Yang baharu adalah penyebaran saluran dalam talian iaitu membolehkan kebencian menjadi tular,” katanya.
Grant berkata, Twitter hari ini gagal menghadapi realiti gelap bahawa platform itu semakin digunakan sebagai alat untuk menyebar kebencian.
“Kami sudah pun mendapat laporan bahawa beberapa akaun yang telah diharamkan sebelum ini yang mencetuskan polaris melampau dan menjaja kemarahan dan kebencian, termasuk neo-Nazi Australia, telah dibuka semula,” katanya.
Twitter diberikan tempoh 28 hari untuk memberi penjelasan atau bakal berdepan denda. – BERNAMA-AGENSI ANADOLU