HomeGlobalCEO OceanGate tak pedulikan 'dentuman amat kuat' pada misi terdahulu Titan

CEO OceanGate tak pedulikan ‘dentuman amat kuat’ pada misi terdahulu Titan

SATU lagi klip video muncul menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush menolak kebimbangan tentang keselamatan kapal selam Titan yang boleh membawa maut, apabila dia mengabaikan ‘dentuman yang sangat kuat’ pada misi sebelumnya.

Lima penumpang, termasuk Rush, jutawan Britain Hamish Harding dan penjelajah Perancis Paul-Henri Nargeolet, Shahzada Dawood, 58, dan anak lelakinya Suleman yang berusia 19 tahun terbunuh semasa menyelam ke Titanic bulan lepas.

Dalam dokumentari BBC, yang hanya boleh ditonton di luar Amerika Syarikat (AS), seorang anak kapal memberi amaran kepada Rush bahawa mereka mendengar, dalam kata-kata Rush, ‘dentuman yang sangat kuat’ semasa Titan berada di permukaan lautan.

Rush – bercakap kepada seluruh krunya dalam dokumentari tahun 2022 – menolak kebimbangan itu, walaupun dia bersetuju bahawa ia ‘bukanlah bunyi yang menyenangkan’, lapor Independent.

‘Hampir setiap kapal selam laut dalam membuat bunyi pada satu ketika,’ katanya sambil menunjuk kepada Nargeolet dengan mengatakan bahawa dia ‘boleh membuktikan’ bahawa itu adalah perkara biasa.

Dalam dokumentari sama, Rush mengakui bahawa dia ‘melanggar beberapa peraturan untuk membina’ Titan dan membandingkan dirinya dengan Jeneral AS Douglas MacArthur dalam berbuat demikian.

‘Saya ingin dikenang sebagai seorang inovator. Saya rasa Jeneral MacArthur yang mengatakan anda diingati oleh peraturan yang anda langgar,’ katanya.

‘Saya melanggar beberapa peraturan untuk membinanya. Saya rasa saya langgar peraturan bersandarkan logik dan kejuruteraan yang baik.’

Kebimbangan rakan sekutu dan pekerja sering didedahkan selepas tragedi itu.

Semalam, seorang lelaki yang pernah menjadi penumpang Titan mendakwa Rush mencadangkan kru tidur di atas kapal semalaman semasa mereka terperangkap di dasar Atlantik.

Ekspedisi Jaden Pan pada 2021 menjadi pengalaman yang menakutkan apabila bateri Titan mati hanya lebih dua jam selepas turun ke bangkai Titanic di dasar laut.

Bercakap kepada BBC tahun lepas, juruvideo itu teringat saat Rush memberitahu penumpang bahawa bateri telah ‘kong’.

Rush dilaporkan memberitahu penumpang bahawa mereka perlu kembali ke permukaan apabila mereka berada dalam jarak dua padang bola dari bangkai kapal legenda itu.

‘Pada mulanya, saya fikir dia bergurau kerana kami sudah lebih dua jam dalam ekspedisi kami dan begitu dekat dengan bahagian dasar,’ Pan memberitahu BBC.

Anak-anak kapal itu dirakamkan tersenyum sambil berganding tangan sebelum mereka menaiki kapal selam yang menelan belanja AS$250,000 seorang bagi ekspedisi itu di mana mereka dan tiga yang lain terkorban.

Seperti yang dilaporkan DailyMail.com sebelum ini, David Lochridge, bekas pengarah operasi marin OceanGate yang bekerja di syarikat itu antara 2015 dan 2018, telah dipecat selepas menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan Titan dalam kebanyakan proses pembinaannya.

Rush – seorang ‘inovator’ yang mengaku dirinya yang berusaha untuk menolak sempadan bagi penyelaman penumpang – adalah salah seorang daripada lima yang maut dalam pelayaran terakhir Titan, selepas ruang tekanannya meletup berhampiran kedalaman 3,800 meter di mana Titanic terdampar.

Dia dilaporkan percaya pergi ke dasar Atlantik dengan Titan adalah ‘lebih selamat daripada menyeberang jalan’, walaupun telah diberi amaran oleh berpuluh-puluh pakar pada 2018 bahawa pendekatan ‘eksperimen’ syarikatnya boleh menjadi ‘malapetaka’.

Keselamatan kapal selam dan pengabaian beberapa amaran oleh OceanGate telah mengundang kritikan besar selepas Titan hilang semasa menyelam pada 18 Jun ke dasar laut.

Rush – yang menganggap dirinya seorang saintis lebih daripada jurujual walaupun banyak usahanya tertumpu pada pemasaran ekspedisi kapal selam – telah diminta pada 2019 untuk menggantung operasi selepas pakar kapal selam mendengar bunyi retak semasa salah satu penyelaman Titan di Bahamas.

Author

Pilihan Editor