CYBERJAYA: Baru-baru ini, video kelibat seekor ular sawa gergasi yang didakwa ditemui sekitar kawasan perumahan Elmina, Shah Alam menggemparkan penduduk setempat serta warga net.
Menerusi perkongsian video Twiiter @yayaazmi, memaparkan ular tersebut sedang menjalar di kawasan berbukit.
Difahamkan, video berkenaan dirakam oleh penduduk setempat sebelum dikongsikan olehnya di Twitter pada Sabtu.
“Ular sawa/ anaconda jumpa dekat area Elmina. Recorded by one of the residents dan posted dalam group community Denai Alam.
“Seram weh besar macam ni, bukan setakat orang ni, lembu, kambing pun dia telan ni,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, wanita yang dikenali sebagai Yaya berkata, setakat ini tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai penemuan reptilia terbabit.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengguna Twitter berpendapat bahawa ular tersebut memasuki kawasan perumahan adalah disebabkan oleh kawasan yang menjadi habitat tinggalnya telah musnah.
“Tempat asal mereka diceroboh. Awal saya duduk banyak hutan, sekarang semua ditebang dan dijadikan penempatan. Harap ular ini dapat dilepaskan di habitat asal,” komen netizen.
“Elmina ni kawasan sawit, time saya kecil kawasan Elmina tu pokok je. Elmina pun tengah nak buat belah baru. Jadi habitat ular sawa terancam. Hope dapat settle secepat mungkin, besar ni,” kongsi netizen.
“Memang ada pernah nampak area Setia Alam kat Bukit Cerakah, sebab kawasan habitat dia. Tapi sayang habis sikit-sikit kena tarah, tu dia nak pindah tu,” luah netizen.