HomeHiburanBertanding PRN cuma gurauan - Baby Shima

Bertanding PRN cuma gurauan – Baby Shima

CYBERJAYA: Penyanyi dangdut, Baby Shima menyatakan pengumuman bahawa dia akan bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini hanyalah gurauan semata.

Katanya, ayat dalam video dikongsi semalam merujuk kepada ucapan lama bekas Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diulang semula.

Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, dia memuat naik video kononnya mahu bertanding itu selepas bertemu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35), baru-baru ini.

“Sebenarnya video yang saya kongsi semalam adalah susulan pertemuan saya dengan KJ di Istana Budaya tempoh hari apabila kami sempat berbual mengenai demam PRN.

“Saya rekodkan pertemuan kami itu terutama berkenaan pendapatnya kawasan mana saya sesuai bertanding andai mahu jadi calon dan video tersebut baru saya kongsikan tadi.

“Tapi memang saya takkan bertanding, itu sekadar gurauan yang saya tak jangka dianggap serius,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Shima berharap tiada pihak yang mengambil serius dengan hantaran terbabit kerana hakikatnya dia tidak berminat untuk menyertai arena politik.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Bang Jamal’ mengumumkan bakal bertanding sebagai calon Bebas namun tidak mendedahkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun negeri, semalam.

“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini, saya ingin mengumumkan akan bertanding PRN untuk berkhidmat dan membela rakyat.

“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya dalam video berkenaan.

Author

Pilihan Editor