CYBERJAYA: Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) M1M menerima bidaan tertinggi berjumlah RM622,000 yang ditawarkan untuk bidaan terbuka sempena Hari Kebangsaan 2023.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan, siri NPI M_M adalah singkatan kepada ‘Malaysia Merdeka’ itu keseluruhannya berjaya mengutip lebih RM20 juta, bermula 31 Ogos hingga 4 September.
“NPI M1M menerima lima bidaan tertinggi berjumlah RM622,000 manakala M5M berada di tempat kedua (RM500,000), M8M (RM450,000), M9M (RM402,004) dan M6M (RM350,000).
“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah 25,033 orang dan 6,872 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut JPJ, siri NPI itu menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini.
Katanya, lima nombor menerima bidaan tertinggi adalah M101M sebanyak 39 bidaan, M155M (33), M51M (32), M313M (31), M39M (28).
“JPJ ingin mengucapkan tahniah kepada pembida yang menerima keputusan rasmi pada 5 September lalu dan terima kasih juga kepada semua pengguna yang menyertai bidaan ini melalui sistem JPJeBid.
“Bidaan JPJeBid ini adalah usaha jelas JPJ dalam menyediakan perkhidmatan secara digital kepada rakyat selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025,” katanya.