CHUKAI: Lelaki cedera selepas ditembak rakannya sendiri yang menyangka mangsa adalah monyet yang mencuri buah-buahan di sebuah kebun di Kerteh, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa yang berusia 54 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat terkena peluru penabur yang ditembak oleh rakannya itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan memanjat pokok manggis di kebun miliknya itu.
Beliau berkata, pada masa sama, suspek yang juga seorang warga emas berusia 69 tahun membawa senapang patah turut pergi ke kebun terbabit.
“Apabila melihat keadaan pokok yang bergoyang, suspek yang menyangka sekawan monyet di atas pokok itu dan melepaskan tembakan.
“Menyedari rakannya itu terkena tembakan, mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan,” katanya.
Katanya, mangsa kemudiannya diberi rawatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Sepasukan anggota polis yang menjalankan siasatan dan merampas senapang patah yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Suspek turut ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Hanyan berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai permit serta lesen pemilikan senjata dan polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti pemilik senapang terbabit.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 37 Akta Senjata Api 1990,” katanya. – Berita Harian