LEBIH 137,000 penduduk di Gaza berlindung di 83 sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Agensi Anadolu melaporkan, UNRWA dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, jumlah itu meningkat berikutan serangan udara rejim pengganas Israel yang berterusan.
Menurut agensi berkenaan, setengah juta orang berhenti menerima bantuan makanan penting berikutan agensi itu terpaksa menutup semua 14 pusat pengedaran makanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza berkata, serangan udara Israel menyasarkan empat ambulans di timur bandar Khan Yunis.
Sementara itu, pesawat Israel terus melancarkan serangan udara yang menyasarkan pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza.
Sabtu lalu, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa, dengan melepaskan tembakan roket dan menyusup masuk ke Israel melalui darat, udara dan laut.
Hamas berkata, serangan mengejut itu sebagai tindak balas terhadap serbuan ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan peningkatan keganasan penduduk haram terhadap rakyat Palestin.
Sebagai tindak balas, rejim pengganas Israel turut melancarkan serangan berterusan di Semenanjung Gaza.
Jumlah rakyat Palestin yang dibunuh rejim pengganas di Gaza telah meningkat kepada 704, termasuk 143 kanak-kanak dan 105 wanita, kata Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Gaza pada awal Selasa.
Ia berkata, jumlah yang cedera telah meningkat kepada sekitar 4,000.
Sekurang-kurangnya 900 warga Israel terbunuh dan lebih 2,600 lagi cedera dalam pertempuran itu, menurut Kementerian Kesihatan Israel.