HomeBeritaNahas 3 maut, polis cari pemandu kereta ketiga

Nahas 3 maut, polis cari pemandu kereta ketiga

HULU SELANGOR: Polis mengesahkan sebuah lagi kereta terbabit dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rawang-Bukit Beruntung berdekatan Serendah Golf Resort di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya giat mengesan pemandu kereta Proton Wira yang belum dikenal pasti identitinya.

Selain Proton Wira itu, katanya, nahas jam 10.55 pagi itu turut membabitkan Perodua Axia dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

“Toyota Avanza dan Perodua Axia dipandu dua lelaki warga emas masing-masing berusia 68 dan 62 tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia dari Serendah ke Batang Kali. Sebaik tiba di lokasi, pemandu Proton Wira dipercayai dari arah bertentangan cuba memintas kenderaan di hadapannya.

“Pemandu Perodua Axia cuba mengelak lalu melanggar bahagian kanan Proton Wira berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Ahmad Faizal berkata, pelanggaran itu menyebabkan Perodua Axia berpusing sebelum dilanggar Toyota Avanza dari belakang.

“Kejadian menyebabkan pemandu Perodua Axia bersama penumpang dan pemandu Toyota Avanza maut di tempat kejadian.

“Penumpang MPV cedera di mata dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Author

Pilihan Editor