HomeGlobal'Kita akan tunjukkan pada dunia Israel adalah penjenayah perang' - Erdogan

‘Kita akan tunjukkan pada dunia Israel adalah penjenayah perang’ – Erdogan

ISTANBUL: Turkiye mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Israel sebenarnya adalah negara penjenayah perang, tegas Presidennya, Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan juga turut mengkritik sikap hipokrit kuasa Barat yang memberikan sokongan kepada Israel selain media mereka yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan ke atas Gaza.

Presiden Turkiye itu berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan ribu rakyat Turkiye yang berhimpun dalam solidariti “Great Palestine Rally’ di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul.

Erdogan menegaskan, sikap pilih kasih itu dilakukan Barat kerana rasa bersalah mereka terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap kaum Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.

“Turkiye tidak mempunyai masalah untuk menyatakan pendirian mengenai apa yang berlaku di Gaza kerana kita tidak terhutang budi kepada Israel.

“Ini berbeza dengan kuasa Barat yang sentiasa terhutang budi dengan negara Zionis itu kerana kekejaman yang pernah mereka lakukan dulu,” katanya.

Ketika pembunuh beramai-ramai sedang dilakukan tentera zionis di Gaza, Erdogan mempersoalkan berapa ramai lagi nyawa kanak-kanak, wanita dan warga emas yang perlu dikorbankan sebelum gencatan senjata dapat dilakukan.

“Ketika Turkiye sedang dalam persiapan menyambut ulang tahun penubuhan Republik Turkiye yang ke-100 hari ini (Ahad), kita tetap berduka cita dengan apa yang dialami rakyat di Gaza,” katanya.

Perhimpunan mega di Istanbul itu menyaksikan solidariti rakyat Turkiye dari pelbagai latar belakang termasuk selebriti Yusof Islam.

Erdogan juga menegaskan pejuang Hamas adalah kumpulan pembebasan yang melancarkan pertempuran untuk melindungi tanahnya, kumpulan Mujahidin yang berjuang untuk melindungi bumi dan rakyatnya.

Tambah beliau, Israel mungkin disokong Barat kerana berhutang banyak dengan regim Zionis itu, tetapi Turkiye tidak berhutang apa-apa dengan Israel.

Pada masa yang sama, Erdogan juga meluahkan rasa sedih dengan sikap Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang menutup mata terhadap pembunuhan kejam kanak-kanak dalam konflik Israel-Palestin.

Turki turut menyifatkan tindakan negara-negara di luar rantau yang menyatakan sokongan kepada Israel, seolah-olah ‘mencurah minyak ke dalam api’.

Justeru, Erdogan berkata Turki bersedia menjadi salah satu penjamin kepada pihak Palestin dengan sokongan kemanusiaan, politik serta ketenteraan.

Sementara itu, Israel hari ini bertindak memanggil pulang kakitangan diplomatik di Turkiye selepas ucapan Erdogan itu semalam.

Kedua-dua negara itu baru sahaja bersetuju untuk melantik semula duta masing-masing selepas rundingan sejak tahun lalu.

Menteri Luar Israel, Eli Cohen, berkata tindakan itu diambil berikutan nada kenyataan dari Turkiye, yang memerlukan hubungan sedia ada dinilai semula.

Malah, Israel turut memanggil pulang kakitangan kedutaannya dari beberapa negara serantau sejak serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.

Sehingga kini sekurang kurangnya 7,326 rakyat Palestin dibunuh tentera Zionis di mana 70 peratus daripadanya merupakan wanita dan kanak kanak. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor