KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, 37, mendakwa ada pihak mengambil kesempatan menggunakan namanya dan mewujudkan akaun media sosial bagi tujuan mengutip derma.
Apa yang lebih membuatkan Heliza terkejut apabila pihak tidak bertanggungjawab itu didakwa bijak memanipulasi video lamanya dengan membuat suntingan seolah-olah menampakkan dirinya sedang bersiaran langsung hingga meraih kutipan RM60,000.
“Saya ingin maklumkan bahawa saya hanya ada akaun Facebook (FB), TikTok dan Instagram (IG)… Apa yang lain-lain itu bukan saya.
“Jadi, saya ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak tertipu dengan akaun palsu itu.
“Saya terkejut mereka siap buat ‘live’ dengan cara menangkap layar video lama dan disunting seolah-olah saya sedang ‘live’,” katanya ketika ditemui pada sidang media Himpunan Artis dan Seniman Malaysia Membela Palestin (HASPA) di Kajang, Jumaat lalu.
Heliza mendapat tahu mengenai perkara itu selepas menerima mesej langsung (DM) daripada pengikutnya.
“Selain terima DM, saya terkejut kerana beberapa kali saya ditegur orang awam yang bertanya bila saya pulang dari Gaza, sedangkan saya belum pergi pun.
“Ada yang memeluk saya sambil menangis kerana bersyukur saya selamat pulang.
“Betapa dahsyatnya akaun palsu itu sehingga kami jadi tular. Baguslah doakan, tapi saya takut hal yang membabitkan wang.
“Tolonglah ikut akaun yang betul. Kepada orang yang buat akaun palsu itu, saya nak tegaskan bahawa saya tidak izinkan kerana ini cerita hidup dan mati,” katanya.
Sementara itu berkongsi mengenai HASPA yang bakal berlangsung di Shah Alam pada 2 Disember depan, Heliza berkata, aktiviti sedemikian memang wajar dianjurkan berterusan.
Heliza yang sudah tiga kali mengunjungi Gaza memberitahu penduduk Palestin meminta agar seluruh dunia sentiasa menunjukkan solidariti kepada mereka.
“Dengan kewujudan media sosial, mereka boleh nampak sokongan masyarakat dunia. Jadi, mereka minta kita supaya tidak henti beri sokongan.
“Jika kita berhenti membuat hantaran dengan alasan tak sanggup atau takut melihat penderitaan yang ditanggung masyarakat di Gaza, nanti kita akan semakin selesa dan terus lupakan mereka.
“Isu Gaza ini kena ada dalam hati, bukan sokongan bermusim. Cuma, kali ini, apa yang berlaku sangat dahsyat sehingga ramai yang sudah mula menghafal qunut nazilah,” katanya. – Berita Harian