HomeHiburanJadi diri sendiri, jangan terikut-ikut bapa kamu - Ramli MS

Jadi diri sendiri, jangan terikut-ikut bapa kamu – Ramli MS

CYBERJAYA: Maestro negara, Datuk Ramli MS, menasihatkan penyanyi muda, Zaki Yamani, 17, supaya kekal menjadi diri sendiri.

Nasihat itu diberi ketika Zaki atau Ahmad Zaki Yamani tampil mengiringi persembahan Alif Aziz menyampaikan lagu Jampi (Hael Husaini), di pentas All Stars Gegar Vaganza (GV10), malam tadi.

Dalam memuji persembahan duet itu, Ramli turut mengingatkan Zaki supaya tidak terlalu mengikut gaya bapanya iaitu raja pop negara, Datuk Jamal Abdillah.

“Kamu berumur 17 tahun, masih muda. Saya suka kamu, kerana kamu seperti saya. Bakat-bakat baru seperti inilah yang perlu kita raikan.

“Ayah kamu ialah Jamal. Kamu perlu jadi diri sendiri. Jangan terikut-ikut bapa kamu.

“Jika kamu meniru artis lain, kamu akan menjadi nombor dua. Artis perlu jadi nombor satu, tiada nombor dua,” ujarnya kepada Zaki.

GV10 yang berlangsung Ahad malam, menyaksikan Jaclyn Victor berjaya menduduki tangga pertama diikuti Tomok di tangga kedua dan Hady Mirza berada di kedudukan ketiga.

Manakala Noryn Aziz yang menyanyikan lagu Tegar (Rossa) bersama Dia Fadila, tersingkir pada konsert minggu kesembilan itu.

Author

Pilihan Editor