HomeBeritaGeng paranormal ‘turun padang’ bantu cari guru hilang

Geng paranormal ‘turun padang’ bantu cari guru hilang

CYBERJAYA: Misteri kehilangan seorang guru lelaki di kawasan peranginan Sungai Sedim, Kulim, Kedah sejak beberapa hari lalu, masih belum terungkai.

Meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Mohd. Hafiz Jasmi, 38, yang dilaporkan hilang di kawasan peranginan itu sudah ditangguhkan oleh pasukan (SAR) pada 14 November lalu akibat tiada petunjuk baru, namun, terdapat sukarelawan berusaha mengesannya.

Antara yang tampil menghulurkan bantuan mengesan mangsa ialah rakan-rakan, kumpulan pencari paranormal dan perubatan tradisional.

Menurut salah seorang aktivis masyarakat di media sosial yang turut bantu mengesan mangsa, Fazil Abd Gani, 40, berkata, sehingga kini mereka masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Selepas mengetahui SAR dihentikan, saya bersama seorang kawan pergi ke lokasi mangsa dilaporkan hilang pada pagi Selasa lalu.

“Saya bersama seorang rakan mencari di persekitaran pusat peranginan itu termasuk di sekitar kawasan chalet dan lubuk Siku, namun, gagal,” katanya ketika dihubungi Utusan.

Tambah Fazil, pencarian mangsa dilakukan pada waktu pagi dan sebelah malam dengan membuat rondaan di sekitar kawasan terbabit.

“Ketika kami sampai di kawasan terbabit (sekitar jam 12 malam), suasana agak seram dan keadaan gelap tanpa sebarang cahaya dan berpandukan lampu suluh kami cuba mencari sekali lagi di kawasan persekitaran mangsa hilang.

“Ketika mencari, ada perasaan seram juga, namun kami teruskan usaha mencari dengan pelbagai kaedah secara tradisional, namun gagal menemui sebarang petunjuk,” ujarnya.

Justeru, Fazil sekumpulan mengambil keputusan untuk pulang ke pekan Kulim.

“Kira-kira pukul 2 pagi kami semua pulang ke pekan Kulim dan jika ada masa lapang nanti kami akan cuba mencarinya lagi,” katanya.

Author

Pilihan Editor