HomeBeritaKPM siasat guru kasari pelajar di sekolah Terengganu

KPM siasat guru kasari pelajar di sekolah Terengganu

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial, yang memaparkan seorang guru bertindak memarahi dan memukul kepala seorang pelajar lelaki dalam sebuah majlis rasmi di sebuah sekolah di Terengganu.

KPM memaklumkan, langkah itu penting demi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

“Kementerian komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan,” menurut KPM dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan sama, golongan pendidik dinasihatkan untuk sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme profesion keguruan.

Terdahulu, guru berkenaan tidak dapat menahan amarah apabila bertindak mengasari dan menaik tangan ke atas seorang pelajar.

Turut menyaksikan insiden itu adalah beberapa orang guru dan pelajar lain, sekali gus dilihat memalukan pelajar terbabit.

Tidak berpuas hati dengan perlakuan itu, guru wanita yang berada di lokasi tersebut sebaliknya bertindak merakam kejadian berkenaan sebelum memuat naik di media sosial.

Namun, menerusi perkongsian terbaharu, guru wanita itu mengakui telah memadam dua hantaran video berkenaan kerana kes tersebut sedang dalam siasatan.

Author

Pilihan Editor