“DIA ‘first love‘ saya. Kami berkawan sejak usia 15 tahun dan pernah bercinta sebelum ini.”
Demikian penjelasan pelakon, Hafidz Roshdi yang kini sah menjadi suami kepada wanita pilihan hati, Athira Yuhada seperti dikongsi dalam hantaran di Instagram miliknya.
Hafidz berkata, dia sah begelar suami kepada Athira kira-kira jam 8.15 malam dengan sekali lafaz dan dinikahkan oleh jurunikah yang berwakil walikan bapa Yuhada dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Shah Alam, Jumaat malam.
“Alhamdulillah saya bersyukur apabila Allah beri peluang untuk saya menjadi suami sekali lagi. Insya-Allah saya akan jalankan tanggungjawab ini dengan baik.
“Moga pernikahan ini kekal hingga akhir hayat. Doakan yang terbaik untuk perkahwinan ini,”katanya.
Dalam majlis pernikahan itu, pelakon drama Tundukkan Playboy Itu menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300.
Sebelum ini, tular kad undangan perkahwinan antara Hafidz dan Athira tanpa mendedahkan butiran lanjut selain memaklumkan tarikh majlis.
Ketika gosip mengenai hubungan mereka, pada Julai lalu Hafidz menegaskan antaranya dengan wanita terbabit sekadar kawan, selain menegaskan mereka tidak mungkin berkahwin dalam masa terdekat.
Teka-teki mengenai majlis pernikahan pelakon, Hafidz dengan Athira akhirnya terjawab apabila dia mengumumkan berita gembira itu di Instagram sebentar tadi.
Untuk rekod, Hafidz, 29, pernah mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016, dan pasangan ini bercerai pada 27 Julai lalu.
Hasil perkongsian hidup, Hafidz dan Nurul Shuhada dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3.