BINTANG K-Pop G-Dragon bakal menubuhkan sebuah yayasan anti-dadah bagi membantu belia ketagihan dadah di Korea.
G-Dragon atau lebih mesra dipanggil GD meluahkan hasratnya itu selepas dilepaskan daripada tuduhan berkenaan penyalahgunaan dadah.
Malah, kontroversi dia dituduh mengambil dadah turut membuka matanya untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah.
“Seperti yang anda semua tahu, saya melalui detik sukar tahun ini. Sebelum ini saya tak pernah berdepan situasi begini.
“Ada 20,000 penagih dadah di Korea dan kurang 500 daripadanya mendapat rawatan sewajarnya.
“Tindakan tegas perlu diambil terutama dalam kalangan belia yang terdedah kepada penyalahgunaan dadah,” katanya.
Kenyataan ahli kumpulan Big Bang itu dibaca oleh wakil daripada agensi baharunya, Galaxy Corporation iaitu Cho Sung Hae dalam sebuah sidang media baru-baru ini.
Menurut Sung Hae, polis secara rasmi menutup kes penyalahgunaan dadah melibatkan penyanyi lagu Today, pada Isnin.
Sementara itu, Sung Hae juga meminta orang ramai untuk memberikan sokongan buat usaha yang akan dijalankan oleh GD.
“G-Dragon telah dibebaskan daripada semua pertuduhan penggunaan dadah dan kami berharap agar anda memberikan sokongan buatnya dalam laluan baharu yang akan dijalankan akan datang,” ujarnya.
GD sebelum ini hadir di Balai Polis Nonhyeon, Korea Selatan bagi menjalani siasatan selepas didakwa atas kesalahan mengambil dadah.
Siasatan yang berlangsung selama empat jam itu membuktikan bahawa keputusan ujian air kencing GD adalah positif.