HomeBerita'Pak Guard' tak sengaja lepaskan tembakan disiasat

‘Pak Guard’ tak sengaja lepaskan tembakan disiasat

PETALING JAYA: Tindakan seorang pengawal keselamatan yang secara tidak sengaja melepaskan satu das tembakan ke arah lantai di sebuah institusi kewangan di Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, di sini pada Selasa, menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk di situ pecah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Beliau berkata, polis menerima pemakluman kes tersebut pada jam 10.13 pagi Selasa daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di institusi kewangan itu, sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditugaskan ke lokasi.

“Hasil siasatan mendapati, pengawal keselamatan berumur 50-an itu menggunakan senjata jenis pump gun telah melepaskan satu das tembakan ke arah lantai, sehingga menyebabkan cermin di bahagian pintu masuk telah pecah.

“Tiada sebarang cubaan samun dan pengawal keselamatan itu juga negatif dadah. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-79662222.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor