SEKURANG-KURANGNYA 70 orang terbunuh dalam kejadian terowong runtuh di sebuah tapak perlombongan emas di Mali pada minggu lalu.
Terowong berkenaan runtuh di wilayah Koulikoro pada Jumaat lalu, namun jumlah sebenar kematian tidak dilaporkan sehingga kini.
Menurut seorang pegawai pelombongan emas, kejadian itu bermula dengan bunyi bising dan gegaran di sekitar lokasi kejadian.
“Terdapat lebih 200 pelombong emas di lapangan. Operasi mencari sudah pun berakhir dan kami menemui 73 mayat,” katanya seperti dilapor BBC yang memetik AFP.
Sementara itu, Menteri Perlombongan, Baye Coulibaly memaklumkan bahawa angka rasmi kematian sementara adalah lebih daripada 40 orang.
Coulibaly berkata, kementeriannya sudah pun mengeluarkan amaran kepada para pelombong agar melakukan kerja-kerja di kawasan terlarang, namun usaha tersebut dilihat sia-sia.
Katanya, siasatan lebih lanjut berhubung perkara itu akan dibuat dengan menghantar pasukan khas ke kawasan itu pada Khamis.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai yang tinggal berhampiran tapak perlombongan itu untuk mematuhi peraturan keselamatan dan hanya bekeja di kawasan yang dikhaskan untuk mendulang emas.
Kerajaan Mali turut memberi ucapan takziah kepada ahli keluarga dan waris rakyat Mali.
Mali, yang juga antara negara termiskin di dunia, adalah antara pengeluar emas terkemuka di Afrika.
Tapak perlombongan emas kerap menjadi tempat kejadian tanah runtuh dan pihak berkuasa bergelut untuk mengawal perlombongan artisan bagi logam berharga itu.