HomeBerita'Langkah mayat saya dulu, jangan campuri hal ehwal Kedah'

‘Langkah mayat saya dulu, jangan campuri hal ehwal Kedah’

‘LANGKAH mayat saya dulu’.

Itulah ungkapan yang dilontar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyelar cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chan Kon Yeow bagi pembentukan Lembaga Lembangan Ulu Muda yang terletak dalam kawasan Kedah.

Menurutnya, cadangan itu bersifat campur tangan dalam hal ehwal wilayah Kedah.
“(Mereka) tidak sepatutnya mencampuri wilayah negeri lain… jika mereka bergantung (kepada negeri lain) dan ingin meraih faedah daripada tanggungan, bayar saja apa yang mereka patut bayar.

“Tiada lagi pemberian percuma… semudah itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kon Yeow yang menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda bagi menguruskan sumber air di kawasan tadahan air Ulu Muda Kedah.

Isnin lalu, Kon Yeow sekali lagi menggesa Putrajaya mempertimbangkan cadangan Kerajaan Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Menurutnya, kawasan tadahan air Ulu Muda perlu diurus secara profesional kerana ia adalah kawasan tadahan penting untuk menyalurkan bekalan air mentah kepada tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Kon Yeow mengulas dakwaan RimbaWatch bahawa pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda membentuk kelodak dan tercemar.

Kumpulan alam sekitar itu mendakwa kajian yang dijalankan menerusi pemantauan imej satelit mendapati Tasik Muda mula mengumpul mendapan kelodak sejak Mac tahun lalu dan mendapan didapati semakin meningkat pada Oktober tahun lalu.

Dakwanya lagi, keadaan itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.

Bagaimanapun, Sanusi menolak dakwaan kekeruhan di takungan Tasik Muda berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Sebaliknya, beliau mendakwa kekeruhan itu berpunca daripada serpihan pasir, tanah dan kayu balak yang mengalir dari empat sungai utama yang mengalir ke dalam takungan sejak 50 tahun lalu.

Author

Pilihan Editor