MAYAT Hind Rajab, kanak-kanak perempuan Palestin berusia enam tahun ditemukan di bandar Gaza, 12 hari selepas kali terakhir dia bercakap dengan ibunya dan kakitangan Bulan Sabit Merah Palestin, lapor agensi berita Palestin WAFA pada Sabtu.
Dalam panggilan telefon terakhir ketika memohon bantuan, dia memberitahu ibunya bahawa dia berada di dalam kenderaan bersama ahli keluarga lainnya, dan sebuah kereta kebal Israel sedang menembak ke arah mereka.
Mereka semua terbunuh serta-merta, kecuali Hind dan sepupunya, yang cedera di bahagian belakang, kaki dan lengannya.
Dia memberitahu ibunya, Wissam, bahawa dia juga mengalami pendarahan di mulutnya.
Dua daripada paramedik Bulan Sabit Merah telah dihantar ke tempat kejadian di Tal Al Hawa, barat bandar Gaza.
Yusuf Zeino dan Ahmed Al Madhoun turut hilang. Mayat mereka juga ditemukan pada Sabtu dan ambulans yang mereka naiki telah ditembak oleh tentera Israel, kata Bulan Sabit Merah.
Hind berkata, dia dapat melihat ‘lampu merah berkelip’ ambulans sejurus sebelum panggilan tiga hala dengan ibunya dan kakitangan Bulan Sabit Merah terputus.
Bulan Sabit Merah berkata, ia menerima kebenaran untuk percubaan menyelamat daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, sebelum menghantar ambulans.
Tentera Israel tidak menjawab dua permintaan oleh The National, untuk mengulas mengenai keberadaan Hind dan mengapa tentera Israel menembak kenderaan awam yang diparkir dan sebuah ambulans.
Hind berada di dalam kereta bersama bapa saudaranya Bashar Hamadah, isteri dan tiga anak mereka, apabila kereta kebal Israel mengepung kenderaan mereka dan melepaskan tembakan, membunuh semua penumpangnya serta-merta kecuali Hind dan sepupunya, Layan, kata WAFA.
Layan yang juga meninggal dunia akibat luka tembakan, membuat panggilan awal ke Bulan Sabit Merah tetapi talian terputus selepas tembakan meletus. Apabila mereka menghubungi semula, Hind menjawab telefon itu.
Bercakap kepada Al Jazeera, bapa saudara Hind, Samih Hamadah berkata, kereta yang dinaiki keluarga itu penuh dengan lubang peluru.
“Mayat-mayat sudah mereput,” katanya.
Ibu Hind memberitahu The National pada Selasa bahawa setiap hari dia menunggu berita tentang anak perempuannya sejak kali terakhir dia bercakap dengan Hind.