HomeBeritaViral'Macam ni orang sayang PDRM!' - Netizen 'respect' polis bantu wanita bersalin...

‘Macam ni orang sayang PDRM!’ – Netizen ‘respect’ polis bantu wanita bersalin di PLUS

PENGALAMAN berharga buat seorang wanita warga Thailand yang sarat mengandung apabila kelahiran anaknya mendapat bantuan anggota polis Malaysia.

Kejadian yang berlaku pada Isnin itu dikongsi dalam halaman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi video perkongsian, wanita warga Thailand itu berdepan detik cemas apabila terpaksa melahirkan bayi di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Sewaktu kejadian, seorang pegawai serta dua anggota polis menjadi ‘penyelamat’ di lokasi meskipun mereka hanya kebetulan melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Berdasarkan perkongsian itu, kejadian berlaku ketika mereka sedang dalam penugasan Op Selamat 21.

“Kenderaan peronda dinaiki Inspektor Mat Fauzi bersama Koperal Shahril dan Koperal Hariz Zulfadli telah ditahan warga Thailand terbabit.

“Mereka kemudiannya memaklumkan kepada anggota dan pegawai bertugas tentang wanita berkenaan yang telah sarat untuk melahirkan bayi,” maklum PDRM.

Dalam perkongsian sama, PDRM menyatakan bahawa pada mulanya kenderaan pasangan warga Thailand itu diiringi untuk ke hospital berhampiran.

“Bagaimanapun, wanita terbabit melahirkan bayinya di tepi lebuh raya itu dengan bantuan anggota polis terlibat.

“Ambulans kemudiannya tiba di lokasi kejadian untuk memberikan rawatan kepada wanita terbabit,” kongsinya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga net mengucapkan syabas dan tahniah atas khidmat yang diberikan kepada wanita tersebut.

“Terbaik PDRM. Allah telah atur segalanya. Aamin,” komen netizen.

“PDRM. Aku paling suka yang trafik. Diaorang banyak budi bicara, berdasarkan pengalaman dari tahun 1994 sampai sekarang,” tulis netizen.

“Macam inilah orang sayang Polis Diraja Malaysia,” seloroh warga net.

Author

Pilihan Editor