AUSTRALIA: Seorang lelaki berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam longkang bawah tanah kerana menyembunyikan diri selama lebih 30 jam daripada polis.
Pada mulanya, dia mendakwa termasuk ke dalam longkang itu kerana cuba untuk mendapatkan telefonnya yang jatuh.
Namun menurut polis Queensland, lelaki tersebut sebenarnya sedang melarikan diri selepas disyaki terlibat kes langgar lari kenderaan polis.
Dia ditemui selepas seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai James Lingwood, menghubungi talian kecemasan kerana terdengar jeritan meminta tolong dari bawah tanah.
Menurut James, dia melihat lelaki itu sehari sebelumnya tetapi membiarkannya sendirian kerana dia kelihatan baik-baik sahaja ketika itu.
Polis berkata, sebelum kejadian lelaki itu memandu kereta dalam keadaan mencurigakan sehingga melanggar kereta polis dan kemudian melarikan diri.
Terdapat satu lagi kemalangan dilaporkan selepas itu, namun difahamkan mangsa yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurut laporan BBC, polis menahan lelaki tersebut selepas dibebaskan daripada terperangkap dalam longkang untuk membantu siasatan.