HomeBeritaPolis buru 8 lelaki kes merusuh di Genting Highlands

Polis buru 8 lelaki kes merusuh di Genting Highlands

SERAMAI lapan individu diburu bagi membantu siasatan kes rusuhan di Genting Club, dekat Genting Highlands, Pahang pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, semua lelaki itu dikesan hasil pemeriksaan lanjut terhadap televisyen litar tertutup (CCTV) kelab tersebut.

Individu berkenaan adalah Lim Yong Sen, 43, beralamat terakhir di Taman Kempas Utama, Johor; Tay Kim Dar, 44, beralamat di Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, Johor; Ong Jun Chuan, 39, dari Taman Desa Kempas, Johor dan Ivan Koh Zhen Yee, 23, dari Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor.

Turut dicari Khor Soon Tit, 24, beralamat di Taman Bakap Indah, Sungai Bakap, Pulau Pinang; Swe Kah Fai, 25, Pasir Bogak, Pulau Pangkor, Perak; Tan Chun Hou, 22, Taman Impian Indah Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Hos Yin Bin, 46, dari Pandan Jaya, Selangor.

Yahaya berkata, polis sebelum ini menahan empat lelaki tempatan yang terlibat dalam kes berkenaan dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh.

“Semuanya mengaku bersalah dan diikat jamin RM2,200 sementara menunggu sebutan semula kes pada 17 April ini,” katanya menerusi kenyataan.

Orang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan suspek, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong menerusi talian 09-2222 222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Author

Pilihan Editor