HomeBeritaPegawai JPJ dibenar tak pakai uniform ketika menyamar

Pegawai JPJ dibenar tak pakai uniform ketika menyamar

KETIGA-TIGA individu yang tidak memakai uniform atau vest ketika melakukan operasi seperti video tular baru-baru ini, merupakan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengesahkan perkara itu, JPJ menjelaskan bahawa, pegawai penguat kuasa JPJ dibenarkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

Namun, JPJ berkata, pegawai penguat kuasa tersebut perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa), yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ sekiranya diminta berbuat demikian selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sebagai makluman, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut dan memberikan ruang kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan penuh,” menurut JPJ dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan tiga anggota penguat kuasa JPJ tanpa memakai sebarang uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas ekspres ketika operasi khas, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke arah Utara Nilai pada jam kira-kira 12.10 tengah hari 16 April lalu.

Justeru itu, laporan polis dibuat seorang pemandu bas yang diperiksa oleh tiga pegawai JPJ berkenaan.

Mengulas lanjut, JPJ berkata, jabatan tersebut sedang melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 mulai 1 April hingga 20 April ini, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres.

Sepanjang operasi tersebut, jelasnya, JPJ telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya dan pemeriksaan pemandu bas di terminal-terminal bas sebelum melaksanakan perjalanan.

“Malah, JPJ turut melakukan pemantauan di lokasi-lokasi yang sering berlaku kemalangan termasuk menggunakan teknologi dron, menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan, di samping bertindak atas aduan serta maklumat daripada orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor