KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) hari ini memeterai kerjasama dengan empat organisasi berkaitan teknologi dan industri dalam usaha untuk mentransformasikan sosioekonomi negara melalui Program Bandar Pintar.
Empat organisasi tersebut iaitu Malaysian Research for Technology and Innovation (MRANTI), Technology Depository Agency Berhad (TDA), Malaysia Industry Forward Association (MIFA) dan Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA).
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kolaborasi itu memberi penekanan terhadap kerjasama perkongsian teknologi dan pengetahuan, penyediaan nasihat teknikal dan bukan teknikal serta pembangunan industri ke arah bandar mampan dan pintar.
“Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) selaku sekretariat tetap MSCA sentiasa berusaha untuk merealisasikan program Bandar Pintar ini di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Empat bidang kerjasama yang dikenal pasti ialah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) Smart Cities Sandbox antara MSCA dengan MRANTI, Inisiatif Bandar Pintar dan Program Kerjasama Industri (ICP) antara MSCA dengan TDA, Teknologi dan Perkongsian Pengetahuan dan Pembangunan Industri antara MSCA dengan MIFA serta Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pengkongsian Pengetahuan serta Pembangunan Industri antara MSCA dengan MPIA.
Majlis pemeteraian kerjasama itu disaksikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Ahmad berkata kerjasama itu membolehkan teknologi baharu diuji dalam persekitaran sebenar selain menerima kemudahan kawal selia dan pembiayaan sebelum dibawa ke pasaran serta disebarkan ke seluruh negara.
“Saya optimis kerjasama yang dimeterai hari ini merupakan satu usaha berkesan dalam mencapai objektif mengukuh penglibatan penggiat industri dan sektor kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan serta bandar pintar negara pada masa hadapan.
“MOSTI menghargai dan mengalu-alukan inisiatif sebegini selari dengan tanggungjawab kementerian dalam memperkukuh peranan serta sumbangan teknologi dan inovasi terhadap agenda pembangunan mampan serta bandar pintar negara,” katanya.
MSCA dianggotai 28 organisasi daripada sektor serta bidang yang berkaitan dengan bandar mampan dan pintar di Malaysia selain merupakan platform bagi membincang dan menyelesaikan isu berkaitan bandar pintar secara bersepadu melalui input semua pemegang taruh sektor kerajaan, industri serta akademia.
Pelaksanaan konsep Bandar Pintar dicetuskan bagi memudahkan pengurusan sumber dan alam bina lestari serta mesra pengguna yang matlamat utamanya mewujudkan bandar sesuai didiami, bekerja dan beriadah dengan kualiti hidup serta kesejahteraan yang tinggi selain berpotensi menghasilkan keuntungan kewangan.
Kepentingan mewujudkan Bandar Pintar turut diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 selari dengan hasrat dan tanggungjawab MOSTI dalam memperkukuh peranan serta sumbangan teknologi dan inovasi terhadap agenda pembangunan mampan negara. – BERNAMA