Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Kesedaran terhadap konsumerisme dalam kalangan masyarakat di negara ini merupakan suatu tanda aras penentu kepada kebijaksanaan pengguna untuk menggunakan hak mereka untuk berbelanja atau menggunakan perkhidmatan yang tersedia.
Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, kemajuan pesat teknologi komunikasi maklumat kini memaparkan lebih banyak dagangan perniagaan terbuka yang boleh menyebabkan lebih banyak implikasi terhadap hak pengguna dan peraturan dagangan yang boleh mencetuskan konflik kepada pengguna sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik.
Beliau berkata, mengambil kira, kajian oleh Mohd Azrul Mohamad Salleh dari Universiti Kebangsaan Malaysia Tahun 2016 mendapati bahawa pembangunan sistem atau aplikasi secara dalam talian mendorong kepada anjakan paradigma yang memberi impak kepada kehidupan harian masyarakat dalam memproses, berkongsi dan penyebaran maklumat.
Selain itu kata beliau, menurut Mohd Azrul, pembangunan teknologi ini akan menjana lagi pembentukan sebuah masyarakat abad ke 21 yang baharu iaitu masyarakat digital atau masyarakat jaringan.
“Justeru, literasi konsumerisme dalam kalangan pengguna harus dipergiatkan bagi memastikan perkara-perkara yang tidak diingini seperti penipuan, pencerobohan hak pengguna dan sebagainya tidak berlaku, lebih-lebih lagi mendepani arus kemodenan dan kepantasan maklumat di hujung jari.
“Ancaman jenayah siber ini menjadi ancaman utama negara di mana perangkaan menunjukkan dari Januari hingga April tahun 2020 berlaku peningkatan jenayah siber yang tinggi dan bilangannya mencecah 3,510 kes,” katanya.
Syed Agil menambah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah melaporkan menerima lebih 800 laporan polis berkaitan dengan penipuan penjualan topeng muka secara atas talian dari Januari hingga September tahun ini melibatkan kerugian lebih RM5.5 juta.
Sementara itu ujar beliau, kes jenayah siber 2021 meningkat lebih 99 peratus berbanding tahun 2020 dan 2019 dan modus operandi sindiket ini menggunakan Instagram, Twitter dan Facebook untuk menipu mangsa.
“Isunya di sini, sejauh mana pengguna aplikasi media sosial di Malaysia memiliki pengetahuan, kesedaran dan kefahaman terhadap wujudnya suatu mekanisme kawalan oleh pihak ketiga yang boleh menganggu keselamatan dan privasi pengguna.
“Adakah pengguna menyedari perkongsian data dalam media sosial juga memungkinkan ada pihak ketiga memerhati atau mengawasi gerak-geri seseorang pengguna tersebut?
“Sejauh mana pengguna memahami isu pengawasan melalui aplikasi media sosial ini membawa kesan yang positif dan negatif dalam kehidupan harian, lebih-lebih lagi memberi pengaruh kepada proses pembuatan keputusan ke atas pembelian barangan atau perkhidmatan?” katanya.
Syed Agil berpendapat, suatu kajian secara komprehensif mengupas dan mendedahkan tahap dan pengaruh literasi pengguna dalam pembuatan keputusan berhubung dengan isu-isu kepenggunaan mereka seharian.
Jelas beliau, kajian juga perlu dibuat bagaimana sistem pengawasan pengguna dapat membantu para pengguna membuat penilaian sebelum sesuatu keputusan dibuat yang akan memberikan manfaat kepada mereka atau sebaliknya.
“Kesedaran konsumerisme atau kepenggunaan ini bukan sahaja terhad kepada keprihatinan pengguna untuk menggunakan hak-hak mereka apabila mengguna atau berbelanja barangan atau perkhidmatan di media sosial tetapi ia menjurus kepada pelaksanaan mekanisme pengawal seliaan kendiri dalam kalangan pengguna.
“Sistem Pengawalan Kendiri merupakan suatu kaedah bagaimana pengguna menggunakan hak mereka untuk membuat pemeriksaan dan penelitian ke atas sebarang barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka menerusi medium sesuatu media.
“Menurut kajian yang dibuat oleh Prof Johannes Klinglmayr dari Austria Tahun 2016 juga mendapati bahawa gaya membuat keputusan berdasarkan pengawal seliaan kendiri ini mendorong pengguna untuk membuat keputusan berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan teliti ke atas barangan atau perkhidmatan sebelum suatu keputusan dibuat oleh seseorang pengguna berkenaan,” katanya.