HomeMV+PendapatHati-hati lelaki miang, wajah anda mungkin diviralkan

Hati-hati lelaki miang, wajah anda mungkin diviralkan

DUNIA tanpa sempadan dengan pelbagai ragam manusia terhidang secara maya, membuka ruang untuk sesiapa mendekati walaupun dengan cara salah.

Wanita cantik, bergaya, seksi ataupun tidak menjadi sasaran golongan lelaki miang.

Namun wanita hari ini sudah bijak, mereka mengambil langkah ‘keselamatan’ sama ada menyekat akaun lelaki miang ataupun menyiasat latar belakang lelaki itu.

Ia berlaku kepada penulis sendiri, langkah yang diambil ialah menjalankan siasatan ala Jabatan Netizen.

Rupa-rupanya lelaki itu sudah beristeri dan memiliki anak tetapi amat aktif di media sosial bukan seorang diganggunya malah beberapa wanita pempengaruh yang lain turut mendakwa hal yang sama.

Seorang wanita pempengaruh menyiarkan wajah lelaki miang dengan mesej berbaur seksual dan perbualan lucah di media sosial sebagai cara mengajarnya agar menghormati manusia lain.

Tangkap layar mesej lelaki miang terhadap seorang pempengaruh wanita

Lelaki itu mungkin tidak tahu menghendap secara fizikal, malah perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga adalah satu jenayah menurut Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak membabitkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.

Akta ini bagus sebenarnya kerana ia mengembalikan kuasa melindungi wanita dari sudut undang-undang.

Stigma masyarakat yang biasa memperkatakan, kenapa tayang diri di media sosial jika rimas menjadi sasaran lelaki miang.

Mereka lupa bahawa Perlembagaan memberikan kuasa kepada sesiapa untuk menjadi diri mereka sendiri.

Ketika penulis berada di Amerika Syarikat untuk kursus kewartawanan, masyarakat di sana amat tertib walaupun golongan wanitanya bersikap terbuka.

Di sana menatap seseorang terlalu lama dianggap tidak sopan, tidak hormat, biasanya mereka akan segera mengalih pandangan dan tunduk.

Malah, penulis sendiri tidak pernah terima Direct Message (DM) dari lelaki Barat yang miang, jauh sekali membaca komen lucah mereka di media sosial.

Adakah Barat lebih beradab dan menghormati orang lain berbanding masyarakat di Timur?

Namun kegagalan ‘penonton’ maya untuk mengawal perilaku sehingga melampaui batas menyebabkan isu ini semakin membarah.

Maka lahirlah golongan ‘stalker’ yang bukan sahaja menghendap tetapi juga berani menceroboh privasi sehingga membuat kenyataan melampau.

Ibarat kata pepatah, jangan buat rumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak atau berani buat berani tanggung, jangan menyalahkan orang lain jika wajah anda dipaparkan di media sosial kerana gatal!

Author

Pilihan Editor