HomeHiburanAIM23: Yonnyboii menang Album Terbaik, bawa pulang dana RM200,000

AIM23: Yonnyboii menang Album Terbaik, bawa pulang dana RM200,000

Oleh: FATTAH RAZZAQ

SHAH ALAM: Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 mengiktiraf kehebatan artis hip hop, Yonnyboii apabila mengungguli kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) pada acara yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan Yonnyboii membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai insentif kepada penggiat industri kreatif.

Penyanyi Ernie Zakri dan Syamel pula mencatat kejayaan manis apabila lagu Goodbye Hello dendangan mereka memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik yang menawarkan ganjaran RM50,000.

Ernie turut meraih trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati manakala Arddley Nicholas menjulang trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dengan Lagu Pilu.

Untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan Di Dalam Lagu kemenangan berpihak kepada kumpulan V.E, Lagu Bahagiakan Dia hasil paduan suara Liza Hanim dan Shila Amzah pula diangkat sebagai pemenang Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama dan juga Persembahan Vokal Terbaik Duo/Kolaborasi Terbaik.

Janna Nick yang memenangi kategori Video Muzik Terbaik membawa pulang ganjaran berbentuk dana bernilai RM20,000.

Penyanyi Alyah pula mengungguli kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Thank You Allah manakala trofi Lagu Pop Etnik Terbaik dimenangi single Adat Kasih nyanyian Ziha Salleh.

Ziha juga memenangi anugerah Kulit Album Terbaik menerusi lagu sama.

Trofi Artis Baharu Terbaik tahun ini milik Vanessa Reynauld yang menerima DKD bernilai RM50,000.

Lagu Tudung Periuk yang dipersembahkan Dayang Nurfaizah dalam album Belagu dipilih sebagai pemenang kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Rakaman Lagu Terbaik.

Album berkonsepkan klasik kontemporari itu turut memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik.

Sementara itu, Sekumpulan Orang Gila (SOG) membuktikan genre rock ‘makanan’ buat mereka apabila lagu Tugu Ugut dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Rock Terbaik.

Turut membawa pulang trofi adalah lagu CiAO nyanyian Joe Flizzow dan Game Of Charades (Sophia Zuhri) yang menerima trofi lagu R&B/Hip Hop Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

AIM 23 juga mengiktiraf penasihat syarikat rakaman SRC, Tan Su Loke atas sumbangannya kepada industri muzik.

Su Loke menjadi antara individu terpenting di sebalik kejayaan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Anugerah Wirama AIM disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa disaksikan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim.

Author

Pilihan Editor