HomeHiburanAIM23: Janna mohon maaf nyanyi secara miming

AIM23: Janna mohon maaf nyanyi secara miming

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Gatal, Janna Nick tampil memohon maaf secara terbuka selepas menyanyi lagu itu secara ‘miming’ di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, malam tadi.

Melalui hantaran Instagram (IG), Janna memohon maaf dan mendakwa dia bukan sengaja beraksi secara ‘miming’, sebaliknya, berpunca kesihatan yang terjejas.

“Saya minta maaf kerana dianggap memalukan AIM23 apabila ‘miming’ di pentas berprestij itu.

“Kali pertama ditawarkan, saya sangat berbesar hati. Namun, sejak dijangkiti influenza dua minggu lalu, kesihatan saya amat terganggu,” katanya.

Sejurus tampil di pentas AIM23 malam tadi, aksi Janna yang mendendangkan single Gatal secara ‘miming’ dikritik peminat.

Dia didakwa memalukan AIM yang selama ini dianggap pentas berprestij yang menampilkan penyanyi dan pemuzik hebat dalam setiap edisi penganjurannya.

Janna memberitahu, biarpun dinasihati doktor agar berehat, selain AIM 23, dia meneruskan penggambaran drama Melastik Ke Hatimu 2 serta memenuhi undangan di Jakarta, Indonesia dan Singapura.

“Tanpa sedar, pilihan saya memakan diri.

“Terima kasih kepada Warner Music, Efry Arwis dan Sabrina Azman kerana berusaha mengembalikan suara saya… Segala kesulitan amat dikesali,” katanya melalui hantaran itu.

Pada AIM23, muzik video Gatal arahan Chuan Looi diumumkan pemenang kategori Muzik Video Terbaik.

Author

Pilihan Editor