HomeHiburanKonsert di Kelantan, mana pergi golongan ustaz? – Baby Shima

Konsert di Kelantan, mana pergi golongan ustaz? – Baby Shima

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut, Baby Shima mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang tidak membantah berhubung penganjuran sebuah konsert hiburan di Kelantan baru-baru ini.

Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, dia seolah-olah hairan golongan ustaz dan ustazah seperti berdiam diri berbanding lantang bersuara sebelum ini.

Menerusi InstaStory, penyanyi berusia 30 tahun itu turut memuat naik beberapa luahan termasuk tangkap layar teguran daripada Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sebelum ini.

Difahamkan, UMMAH pernah menggesa supaya tindakan diambil terhadap Shima mengenai aksi persembahan nyanyian dan berpakaian yang dikatakan mencolok mata.

Sementara itu, Shima turut berkongsi tangkap layar memaparkan kenyataan pendakwah bebas PU Syed di laman Facebook yang pernah menegur tentang konsertnya bulan lalu.

Menurut penyanyi lagu Pura-Pura Bujang itu, situasi tersebut adalah tidak adil bagi dirinya kerana konsert-konsert lain juga sepatutnya disuarakan oleh golongan pendakwah.

Terdahulu, PU Syed menegur usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri yang menampilkan Baby Shima dalam lagu berjudul Baby Sayang dengan aksi tarian didakwa kurang sopan.

Author

Pilihan Editor