HomeHiburanDijangkiti 'mild bronchitis', Siti Nurhaliza hilang suara

Dijangkiti ‘mild bronchitis’, Siti Nurhaliza hilang suara

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini mengalami masalah kesihatan apabila dijangkiti bronkitis atau flu dada kibat diserang batuk-batuk sejak beberapa hari lalu,

Siti atau nama lengkapnya, Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu, beliau terpaksa melakukan rawatan imbasan X-ray akibat kerap mengalami batuk pada waktu tengah malam.

“Baik kita buat X-ray ya. Tak tahan dah batuk-batuk tengah malam,” kongsinya dalam hantaran InstaStory hari ini.

Penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu itu memaklumkan, beliau disahkan mengalami bronkitis tahap sederhana akibat kesan jangkitan COVID-19 selepas selesai menjalani imbasan X-ray .

Selain dibekalkan beberapa ubat-ubatan lain, Siti kini terpaksa menggunakan inhaler.

“Mild bronchitis kesan Covid-19. Kena guna inhaler ya. Semoga cepat sembuh, amin,” tulisnya dalam hantaran berbeza.

Sejak beberapa hari lalu, Siti, 43, berkongsi keadaannya yang tidak berapa sihat menerusi sebuah video ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun jenamanya, BeauSiti yang ketiga.

Siti turut berkongsi keadaan suaranya ‘hilang’ dan kedengaran garau gara-gara batuk berterusan.

Pada masa sama, anak keduanya Afwa juga mengalami demam dan tidak dapat tidur sehingga turut mengganggu tidurnya kerana berjaga malam.

“Jadi ibu kadang-kadang masa tak cukup, jaga anak. Afwa demam tak tidur, saya pun ikut tak dapat tidur. Hilang suara saya, lagipun memang ada batuk sikit,” katanya dalam video tersebut yang dimuat naik baru-baru ini.

Malah keadaan suara penyanyi itu yang tampil membuat siaran langsung dalam Instagramnya empat hari lalu dilihat semakin teruk sehingga menyukarkannya bercakap.

Sebelum ini pada Ogos lalu, Siti mendedahkan beliau baru sahaja sembuh daripada dijangkiti COVID-19 selepas pulang bercuti dari London.

Author

Pilihan Editor