HomeMV+EksklusifKurung, tahan secara salah adalah jenayah besar, boleh tuntut sivil - Peguam

Kurung, tahan secara salah adalah jenayah besar, boleh tuntut sivil – Peguam

KUALA LUMPUR: Masih ramai tidak tahu, rupanya boleh membuat tuntutan sivil jika terbukti seseorang ditahan secara salah atau illegal detention atau false imprisonment.

Ini adalah selaras dengan Kanun Prosedur Jenayah, jika ditahan tanpa perintah, melebihi tempoh 24 jam, orang yang ditahan berhak menuntut di mahkamah.

Peguam pemerhati, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata, tuntutan nilai ganti rugi yang pernah dilaporkan berdasarkan kes tahanan secara salah adalah antara RM50,000 hingga RM310,000.

“Dalam undang-undang penahanan secara salah, illegal detention atau false imprisonment ini adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dituntut secara sivil.

“Bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 5 adalah berkaitan kebebasan diri. Perkara 5(1), tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

“Saya kongsikan kes tahanan secara salah di ruang komen dan ganti rugi sebanyak RM50,000 dan RM310,000. Ini antara kes yang pernah dilaporkan dan banyak lagi sebenarnya dengan nilai pampasan ratusan ribu ringgit,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian mengulas kes tahan anak di sebuah madrasah, berdasarkan video berdurasi 16 minit, yang tular baru-baru ini.

Menerusi hantarannya di Facebook miliknya Nor Zabetha mencatatkan, ringkasan sikit kisah madrasah dari video berdurasi hampir 16 minit yang ditonton.

Menurutnya, jika seorang ibu menghantar anaknya untuk pemulihan selama tiga tahun dan tidak dibenarkan berjumpa untuk beberapa bulan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, sebenarnya pihak pusat pemulihan tersebut tidak ada kuasa untuk menahan atau mengurung si anak tersebut.

“Kalau kita tandatangan perjanjian jenis begini, adakah ini memberikan hak untuk kita dikurung, ditahan dan tidak dibebaskan kerana tidak melangsaikan hutang?

“Undang-undang mana entah mereka pakai. Hish! Kalau begitu, banyaklah penghutang dikurung dan ditahan oleh pemberi pinjam wang. Ahlong pun tak berani kurung orang begini. Ini kesalahan besar! Bayangkan kalau hanya dengan perjanjian, semua orang dibenarkan untuk mengurung orang lain,” katanya.

Kata Nor Zabetha, pihak polis yang juga pegawai penyiasat siasat dan tahan juga tidak boleh menahan individu melebihi tempoh 24 jam tanpa perintah menahan reman dari mahkamah.

“Apa entah lagi madrasah yang tidak punya kuasa langsung,” katanya.

Malah, Nor Zabetha berkata, sebarang bentuk kandungan perjanjian yang menyalahi sisi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, juga tidak sah.

“Contohnya perjanjian jual beli dadah. Dadah itu memang salah di sisi undang-undang dan dengan adanya perjanjian transaksi dadah, tidak akan menjadikan ianya sah. Merepek!

“Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang nombor satu di Malaysia dan tiada akta atau undang-undang lain yang boleh bertentangan. Apa entah lagi, perjanjian yang bertentangan. Langsung tidak terpakai,” katanya.

Beliau turut mengenal pasti beberapa jenis kesalahan berbentuk jenayah yang diakui sendiri oleh pihak madrasah berdasarkan video sama.

“Sepanjang video itu, entah berapa jenis kesalahan yang diakui orang madrasah ini. Semuanya kesalahan berbentuk jenayah dan boleh didakwa bawah Kanun Keseksaan seperti menahan secara salah, memukul pelajar, gaduh gempar,” katanya.

Kes begini, sangat memberi kesan dan anggapan buruk kepada madrasah lain. Kerana nila setitik…, kata Nor Zabetha lagi.

Katanya lanjut, jika ada yang menghadapi situasi sebegitu, anda perlu tahu bahawa anda tidak boleh ditahan secara salah dan sekiranya melalui sendiri situasi sama, Nor Zabetha menyarankan untuk membuat laporan polis boleh bagi tindakan jenayah dan menuntut ganti rugi.

Author

Pilihan Editor