TIGA entiti paling utama paling asas untuk mengenal diri kejadian manusia adalah jasad, roh dan nyawa.
Tanpa nyawa dan roh yang sifatnya ghaib, jasad tidak akan dapat digerakkan, ibaratnya jasad itu kereta, nyawa itu enjin dan roh itu pemandu.
Ada roh dan nyawa dalam jasad, jasad hidup boleh bergerak dan sebagainya. Keluar nyawa dari jasad, maka jasad mati jadi mayat, keluar roh dari jasad, maka jasad akan koma atau tidak sedarkan diri.
Begitulah analogi mudah untuk memahami masalah Dissociative Identity Disorder (DID), iaitu seseorang yang memiliki banyak personaliti atau frekuensi dan di luar paras kesedaran setiap kali pertukaran.
Masalah pertukaran banyak personaliti ini sering disalah anggap dengan ‘halusinasi’ atau dikatakan ‘saka’ atau pusaka di kalangan pengamal perubatan tradisional.
Namun realitinya ia satu masalah kesihatan mental yang sudah lama wujud dan memiliki terma perubatan iaitu DID di luar negara.
DID berpunca daripada trauma lebih teruk di masa lampau, MEDIA VARIASI berjaya menemu bual gadis dikenali Belle, 23, yang memiliki 30 personaliti.
Mungkin netizen hampir terlupa ada drama Misteri Mona lakonan Janna Nick, ditayangkan di slot Samarinda TV3, satu ketika dahulu menyampaikan mesej tentang watak utama membawa DID.
Moon Knight, yang dikatakan siri tv terbitan Marvel Studios terbaik setakat ini, turut mendedahkan kisah dua watak alter dalam diri seorang yang mempunyai masalah DID.
DID, masih baharu dalam masyarakat di negara ini, masalah yang sangat jarang ditemui dan ia perlu lebih banyak lagi kesedaran mengenainya kerana masih kurang pendedahan.
Bagaimanapun, si gadis Belle, terperangkap dalam 30 personaliti dalam diri, sanggup memperjudikan maruahnya dengan tohmahan masyarakat apabila sanggup tampil di hadapan khalayak melalui aplikasi Tiktok semata-mata untuk memberi kesedaran dan kefahaman mengenai DID.
Jangan mudah menghukum sebaliknya usaha untuk memahami punca dan bagaimana cara mengenali golongan ini serta membantu mereka agar boleh meneruskan hidup dalam masyarakat.
Bermula dengan kisah empunya diri, Belle pernah menghadapi insiden kecil yang menyebabkannya mengalami depresi.
Arwah bapa yang dianggap sebagai satu-satunya pelindung dan penyelamat dalam hidupnya, pernah berjanji membawanya ke klinik kerana melihat keadaan diri memerlukan bantuan pakar ketika itu.
Malangnya, pada usia 14 tahun, bapanya tidak sempat menunaikan janji kerana pergi menghadap Ilahi terlebih dahulu.
Akibat kejadian itu, tekanan emosi Belle yang juga anak tunggal dalam keluarga, semakin bertambah sekali gus menghadapi trauma melampau.
Belle ketika ditemui MEDIA VARIASI, meluahkan rasa kecewanya apabila dituduh dan dikecam oleh netizen yang tidak tahu cerita sebenar.
“Saya pernah merasa sunyi kerana saya sangat rapat dengan arwah ayah, cuma tak mahu bebankan ibu dengan masalah saya sendiri ketika itu, didiagnos hidap depresi.
“Cikgu sekolah dulu pernah panggil saya gila, mereka gunakan penderaan secara verbal, sehingga saya tak datang sekolah dua bulan, kawan-kawan ketika itu pun tidak menyokong.
“Sampai tahap paling teruk, saya terpaksa minta bantuan kawan-kawan yang paling saya percaya, sebab bila saya tertekan, secara tak sedar ‘alter’ (personaliti) saya bertambah dan saya masih belum tahu mengenai DID ketika itu,” katanya ketika ditemani dua sahabat memahami, Lyaa dan Mia.
Gadis itu berkata, sudah berhabis ribuan ringgit bagi mendapatkan pelbagai rawatan, kaunseling dan terapi, di klinik dan hospital, selain berubat secara tradisional bagi mengetahui sakit sebenar dialaminya.
Sehinggalah pada usia 17 tahun, dia didiagnosis menghidap DID dengan sekurang-kurangnya enam alter personaliti.
Sejak mengetahui hal itu, tekanan dirinya semakin bertambah, dan pada usia 22 tahun, dia membuat keputusan mendapatkan rawatan susulan di hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ).
“Masa buat rawatan di PPUM, Belle dapat tahu sudah bertambah ke 20 alter personaliti, doktor pun risau dan cuba untuk bantu,” katanya.
Katanya, DID bukan sesuatu perkara yang boleh dijadikan bahan lawak kerana hanya yang mengalami dan memahami sahaja tahu, penghidap penyakit ini sangat memerlukan sokongan moral yang tinggi dan positif.
“DID bermula apabila seseorang itu mengalami tekanan melampau, trauma lama berulang, PTSD (gangguan stres pascatrauma).
“Penghidap DID banyak berubah watak disebabkan tekanan tadi, dan boleh bertukar watak secara bergilir sebanyak 35 kali sehari malah dalam tidur sekalipun.
“Memang susah nak dapat tidur lena, badan akan terlalu letih, pernah juga tidur selama sebulan kerana ada alter lain terperangkap dalam jasad,” katanya.
Belle juga mengakui mengambil ubat dan preskripsi berdasarkan penyakitnya daripada hospital pakar seperti Escitalopram (15mg), Lorazepam (1 mg) bila perlu, Quetiapine (150mg) dan Clonazepam (3mg).
Justeru, Belle menyarankan masyarakat di luar sana jangan mudah memberi kesimpulan tanpa mendalami dan mengenali rapat apa yang dilalui penghidap DID sepertinya.
Sebagaimana filem Moon Knight, Belle mencadangkan supaya netizen lebih memahami golongan DID dengan menonton filem berkenaan kerana menyampaikan mesej lebih tepat.
Tidak salah untuk kita mengingatkan kembali, bahawa Tuhan yang Esa menciptakan seorang manusia dengan cukup lengkap, iaitu jasad, roh dan nyawa.
Kejadian yang menimpa Belle hampir menyamai keadaan pertukaran roh, seperti yang diketahui dalam masyarakat Melayu, dia dirasuk.
Namun, pertukaran roh itu berlaku bukanlah satu, tetapi lebih malah sehingga 30 alter personaliti yang setiap satunya mempunyai kelebihan dan keunikan masing-masing tanpa mengganggu awam.
IKUTI SIRI SELANJUTNYA GADIS DID 30 PERSONALITI