HomeHiburanHidap penyakit tanpa ubat, Celine Dion terpaksa batal konsert jelajah

Hidap penyakit tanpa ubat, Celine Dion terpaksa batal konsert jelajah

CYBERJAYA: Penyanyi antarabangsa, Celine Dion terpaksa membatalkan konsert jelajahnya kerana menderita sejenis penyakit tidak dapat diubati dikenali sebagai Stiff Person Syndrom (SPS).

Celine Dion, 54, membuat pendedahan itu dengan menyatakan serangan SPS mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga mengganggu percakapan dan masalah berjalan.

“Saya telah didiagnosis dengan gangguan neurologi yang sangat jarang berlaku yang dikenali sebagai Stiff Person Syndrome,” jelas Dion menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram rasminya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu ‘I’m Alive’ itu turut menjelaskan bahawa penyakit berkenaan memberi kesan dan menjejaskan setiap aspek serta sudut kehidupannya sehingga mengganggu pita suara untuk menyanyi seperti biasa.

“Saya disokong oleh anak bersama-sama pasukan perubatan saya yang bekerja keras setiap hari demi memulihkan keadaan kesihatan saya untuk beraksi seperti sediakala namun saya harus akui bahawa semua itu tidak mudah.

Dalam pada itu, Dion menzahirkan jutaan terima kasih kepada peminatnya yang tidak henti-henti memberi sokonan agar dapat kembali beraksi semula.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kasih sayang serta sokongan anda. Saya sangat menyayangi anda semua dan berharap dapat berjumpa dengan kalian semula tidak lama lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, penyanyi lagu ‘My Heart Will Go On’ itu sudah selesai menjayakan 52 persembahan di seluruh Amerika Utara yang bermula sebelum pandemik COVID-19.

Difahamkan ini bukan kali pertama Dion menunda atau membatalkan persembahan mega yang disebabkan masalah kesihatan kerana sebelum ini, Dion pernah menunda kemunculan di Las Vegas berikutan masalah kekejangan otot sehingga mengganggu kemampuannya untuk mengadakan latihan.

Author

Pilihan Editor