HomeBeritaPolitikUMNO sahkan pemecatan Annuar Musa, dua pemimpin wanita

UMNO sahkan pemecatan Annuar Musa, dua pemimpin wanita

PONTIAN: UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT UMNO memutuskan pelaksanaan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Menurutnya, perkara itu termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

“Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

“Pemecatan mereka berkuat kuasa serta-merta dengan surat rasmi pelucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Ahmad Maslan berkata demikian selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, pada Jumaat.

Terdahulu, ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi memaklumkan tiga orang ahli parti berkenaan dipecat susulan didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Author

Pilihan Editor