HomeMV+BongkarTragedi Lubuk Merbau kesan doktrin politik kebencian - Aktivis Perpaduan

Tragedi Lubuk Merbau kesan doktrin politik kebencian – Aktivis Perpaduan

PUTRAJAYA: Tragedi Lubuk Merbau dan Memali 1985 sehingga kini masih memberi kesan trauma kepada anak peneroka FELDA Lubok Merbau, di Padang Terap, Kedah.

Bukan mudah melupakan kejadian pergaduhan sesama manusia sehingga ada terbunuh di depan matanya sendiri yang ketika itu berada di Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Merbau, yang berlaku di hadapan sekolahnya.

Mengundur kembali masa 37 tahun lalu, Shohimi Shafie yang juga aktivis perpaduan menceritakan kepada MEDIA VARIASI ketika itu dua parti, PAS dan UMNO sibuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Terap 1985.

Katanya, ramai orang datang ke FELDA berkenaan, dari Terengganu, Kelantan berdasarkan dialek bahasa masing-masing.

“Masa tu, seronok tengok ramai gantung bendera. Tiba di tempat PAS (bendera), ada seorang daripada mereka beri amaran. ‘Mu jangan buang bendera ni, mu buang aku bunuh mu’.

“Ketika itu saya memang ternganga la. Saya budak lagi, jadi takutlah,” katanya.

Kemuncak tragedi Lubuk Merbau berlaku apabila beliau menyaksikan pergeseran antara Pemuda UMNO dengan Pemuda PAS hanya kerana kerana penyambungan tali kain rentang parti sahaja.

“Masing-masing tidak mahu kain rentang digantung dengan sambungan satu tali. Kemudian, seorang daripada PAS tendang tin ada logo BN, tetapi yang tendang itu terjatuh jadi orang UMNO gelak. Yang jatuh tadi, pergi ke kubu depa.

“Lepas Najib (Datuk Seri Najib Razak ketika itu Menteri Belia dan Sukan) balik (dari kempen ceramah Balai Raya Felda Lubuk Merbau sebagai Ketua Pemuda UMNO), tiba-tiba dua tiga van masuk kampung.

“Orang-orang dalam van buka pintu, keluar bawa parang, keris, besi, masuk serang budak-budak Pemuda tadi.

“Ada seorang tua yang saya kenal, ajar kawad nama dia Ismail Ali, bekas askar wataniah, dia datang nak leraikan. Dia kata jangan gaduh, tetapi saya tengok ada orang mai tikam dia dan nampak dia terjatuh. Ada yang pecah kepala, ada yang mati.

“Saya duduk di tengah-tengah dengan gerek, tak dapat berbuat apa-apa, nak ke dewan pun sangkut.

“Saya tekad lari ke dewan dan tinggalkan gerek di belakang. Saya rehat sekejap, kemudian patah balik untuk ambil gerek. Masa itulah, FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dah ada dan beri masa dalam lima minit untuk kosongkan kawasan itu,” jelasnya kepada MEDIA VARIASI.

Shohimi berkata, tujuannya bercerita mengenai pengalamannya sendiri bukanlah berniat membuka luka lama namun kerana tidak mahu rakyat terpengaruh dengan doktrin politik kebencian, mencetuskan pergaduhan, terlalu ektremis dengan sesuatu perkara atau individu, sehingga menghalalkan darah untuk menjatuhkan seseorang.

“Yang dahulu dah berlaku, sebab depan mata saya. Kalau ingat balik kejadian itu, memang saya masih takut.

“Sama-sama insaflah terutama tok guru untuk beri nasihat, bukan bagi lagi ‘panas’. Baru-baru ini, kita dah tengok ada yang masih ekstrem, siapa pangkah parti lain masuk neraka. Itu perangai lama dah.

“Sebelum 19 haribulan (Disember), dengar macam-macam nak berlaku. Saya tak mahu dah berlaku macam tu (tragedi berulang) ketika ini, kita dah cerdik pandai menilai dan berfikir,” katanya.

Tambahnya, beliau mengalami trauma akibat menyaksikan kejadian itu yang takkan mampu di padamkan dari kotak memorinya.

“Hampir sebulan selepas kejadian, saya tidak boleh mendengar kereta atau van dari belakangnya setiap kali ke sekolah.

“Ketika itu saya masih bersekolah di Tingkatan Lima, mengayuh ‘gerek’ iaitu basikal dalam loghat Kedah, untuk pulang ke rumah.

“Saya benar-benar menyaksikan sendiri peristiwa itu berlaku kerana berada di tempat kejadian,” katanya

Merujuk rekod sejarah pada 7 April 1981, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga telah mengeluarkan Amanat Haji Hadi dalam ceramahnya di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu.

Rentetan Amanat Haji Hadi ini telah berjaya dengan menimbulkan porak-poranda masyarakat waktu itu termasuklah jihad menjatuhkan kerajaan sedia ada, peristiwa Memali, peristiwa Al-Maunah, sembahyang dua imam, nikah oleh UMNO tak sah dan sembelihan oleh UMNO juga haram.

Walau pun amanat ini telah difatwakan bertentangan dengan ajaran Islam sebagai haram, sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 tetapi sehingga kini ia tidak pernah ditarik balik, tidak ada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa (polis dan agama), malah Hadi dan ahli serta para penyokong parti PAS masih mempertahankannya.

Sementara itu, Shohimi berkata, sehingga kini kes tersebut tidak dapat diselesaikan kerana tidak tahu punca.

Peristiwa berdarah di Lubuk Merbau dan tragedi Memali pada 1985 terjadi apabila bara serakah politik menjadi api yang membakar hangus persaudaraan .

Hari ini dunia sudah bebas daripada ancaman keganasan komunis, namun kita belum bebas daripada golongan yang memperguna agama untuk kepentingan peribadi.

Mereka bukan sahaja menjadikan pilihan raya secara sah untuk berkuasa, juga menggunakan masjid dan institusi pendidikan sebagai medan mencari pengaruh.

Dari situlah lahirnya ustaz dan ulama yang berwajah penceramah bebas, bebas ke mana sahaja sambil membawa agenda tertentu.

IKUTI SIRI KEDUA TRAGEDI LUBUK MERBAU DI MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor