DALAM kesibukan ibu kota yang pesat dan membangun sememangnya pelbagai pekerjaan yang dilakukan untuk mendapatkan sumber pendapatan.
Inilah kehidupan yang boleh diibaratkan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.
Berkongsi kisah seorang tukang kasut di tengah pusat kota bandaraya yang dikenali sebagai Jasman Syofian, 75, berasal daripada Tanjung Malim, Perak melakukan pekerjaan membaiki kasut adalah lubuk rezekinya untuk kelangsungan hidup.
Dia mula berhijrah ke Kuala Lumpur ketika berumur 20-an dengan pekerjaan permulaan sebagai kontraktor bangunan.
Selepas terbabit dalam kemalangan di tempat kerjanya, Jasman mula meneruskan kehidupan harian seperti biasa untuk sumber pendapatan.
Dengan sokongan seorang isteri dan anak-anak seramai 12 orang dia tetap bersyukur dengan sumber rezeki yang diterima walaupun sebagai seorang tukang kasut.
Pengalamannya sebagai tukang kasut sudah mencecah 40 tahun. Dengan kudrat tulang empat kerat sejak seawal pagi lagi dia sudah bertolak dari kediamannya di Kampung Baru hingga ke tempat yang dia membaiki kasut dengan menggunakan kereta tolak yang dipenuhi kasut pelanggan.
Rutin hariannya adalah dari jam 9 pagi sehingga 7 petang tanpa mengira waktu rehat dan adakalanya apabila cuaca panas dan hujan adalah tugas dan tanggungjawabnya untuk mencari rezeki.
Kebiasaannya pelanggan yang datang dari pelbagai kaum dan juga pelancong luar untuk membaiki kasut di lorong kecil di mana dia mula membuka operasi. Hasil dan kualiti jahitan yang dibuat adalah mengikut kehendak pelanggan itu sendiri dan mengikut kerosakan kasut tersebut.
Jasman mengenakan bayaran yang bersesuaian dengan kasut yang dibaiki, di antara RM5 hingga RM30 bergantung pada masa yang ditetapkan untuk siap dan peralatan yang di gunakan seperti gam, kerikir, playar, kertas pasir, pemutar skru dan tapak kasut baharu.
Sebagai tukang kasut di lorong kecil tengah ibu kota dengan rezeki sekadarnya yang diterima, Jasman tetap mengimpikan untuk memiliki sebuah kedai membaiki kasut yang lebih baik untuk menambahkan sumber pendapatan dan meneruskan legasi sebagai tukang kasut yang lebih berjaya.