HomeMV+EksklusifWaran tangkap Emilia dibatalkan, tiada media lapor - Peguam

Waran tangkap Emilia dibatalkan, tiada media lapor – Peguam

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili bekas isteri taikun syarikat konglomerat, Emilia Hanafi menegur segelintir pihak media arus perdana yang melaporkan kes anak guamnya, secara berat sebelah.

Nizam Bashir, peguam sivil dari firma Nizam Bashir & Associates mempersoal kredibiliti dan etika kewartawanan pihak berkenaan apabila melaporkan kes Emilia dengan gambaran anak guamnya seorang yang gagal mematuhi prosiding mahkamah, sedangkan ia bukan perkara sebenar yang berlaku.

“Berita yang patut disiarkan tetapi tidak disiarkan. Tiada mana-mana media melaporkan bahawa perintah tangkapan terhadap anak guam saya telah pun diketepikan, dibatalkan hari ini.

“Seperti mana berita asalnya (Emilia gagal hadir prosiding dan dikenakan waran tangkap kedua), bukan main hangat lagi, sekarang bukan main dingin pula, langsung tak lapor,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Nizam Bashir

Nizam turut mempertikaikan ada pihak wartawan yang tidak mengikuti etika kewartawanan sebenar ketika melaporkan kes ibu tunggal itu dikenakan waran tangkap kedua sebelum ini, kerana tidak dijelaskan dengan tepat iaitu berlaku isu teknikal.

“Kenapa wartawan tak menghormati etika kewartawanan? Orang ramai ada persepsi bahawa Emilia sebagai seorang seolah suka kacau, ganggu, melengahkan prosedur mahkamah tapi hakikatnya bukan begitu,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah, membatalkan waran tangkap terhadap Emilia di atas ketidakhadirannya dalam prosiding lawatan tiga anaknya membabitkan bekas suaminya, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal.

Hakim Syarie, Azzeman Omar membatalkan waran tangkap itu selepas berpuas hati dengan penjelasan Emilia.

Nazri Yahya (kiri), Gulab Jan Fazal Eladi dan Emilia Hanafi

Nazri Yahya, peguam syarie mewakili Emilia, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi, wakil Sister in Islam (SIS), Syafiqah Fikri dan Sarah Amar, turut hadir manakala peguam plaintif dan plaintif tidak hadir pada prosiding sama.

Pada 21 Disember 2022, negara sekali digemparkan dengan laporan media arus perdana bahawa Emilia dilaporkan telah gagal hadir ke mahkamah dan dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Syariah di sini.

Hakim Syarie, Azzeman Omar mengeluarkan waran tangkap itu selepas ketidakhadiran responden ke mahkamah tanpa makluman.

Ia adalah waran tangkap kedua yang dikeluarkan mahkamah sama terhadap Emilia.

Nazri turut dilaporkan terkejut sebaik mengetahui perkara berkenaan selepas ia dilapor dan disiarkan di media arus perdana.

Katanya, selepas Emilia menjalani hukuman tujuh hari penjara awal tahun ini, anak guamnya itu tidak pernah gagal untuk hadir mana-mana prosiding mahkamah syariah atau sivil.

“Berdasarkan rekod beliau, mahkamah menetapkan tarikh 20 Disember 2022 untuk Emilia memfailkan afidavit tambahan.

“Anak guam kami bersama peguam Zaim telah tiba di mahkamah jam 8.30 pagi, untuk failkan afidavit.

“Mereka antara yang terawal berada di mahkamah pada hari berkenaan, dan berada di pejabat pendaftaran mahkamah lebih kurang satu jam dan selepas itu bersurai,” katanya.

Pada 27 Jun 2022, Emilia menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana kesalahan menukar ganti tarikh lawatan anak-anaknya.

Kisah pemenjaraan Emilia pernah mendapat perhatian, rakyat, golongan artis termasuk penyanyi terkenal Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza, Che Puan Sarimah Ibrahim, Zahida Rafik, malah pemimpin politik bukan sahaja dalam negara tetapi rakyat di Australia dan Brunei.

Author

Pilihan Editor