HomeBeritaSyarikat RM2, Koperasi Jabatan Perhutanan dapat kuari Bukit Lagong

Syarikat RM2, Koperasi Jabatan Perhutanan dapat kuari Bukit Lagong

PUTRAJAYA: Parti Hijau mempersoalkan bagaimana 27 kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong di Gombak, Selangor boleh diberi kepada syarikat bermodalkan RM2 dan koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Setiausaha penaja parti itu, Abdul Razak Ismail percaya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa berhubung prosedur pemberian lot tanah seluas 887 hektar (bersamaan 2,190 ekar) kepada syarikat proksi dan agensi kerajaan yang terlibat.

“Bagaimana lot tanah ini boleh diberi kepada syarikat bermodalkan RM2, secara logiknya mereka hendak beli jentera pun tak mampu?

“Lebih aneh, bagaimana antara penerima tanah adalah Koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor yang dianggotai oleh pegawai perhutanan sendiri.

“Bayangkan, you bagi lesen you balik tanah kat koperasi yang dianggotai staf sendiri.

“Jabatan Perhutanan tidak telus dalam memberi tanah, bagaimana syarikat RM2 pun boleh dapat? Who are these people?

“Syarikat MPI iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sepatutnya mencari peniaga untuk melabur tetapi sebaliknya berlaku, syarikat itu pula jadi pemilik.

“Boleh buat cross checking kebanyakan director syarikat berkenaan adalah main player di YTL, Hanson dan lain-lain.

“Fakta pemilikan tanah ini didedahkan oleh pemantau hutan rimba atau Disclosure Project yang mendapati sebanyak 27 syarikat termasuk Koperasi Jabatan Perhutanan mendapat tanah berkenaan di mana setiap syarikat dapat 100 ekar tanah, ” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Surat memohon status siasatan SPRM terhadap isu salah guna kuasa berhubung kuari Bukit Lagong

Abdul Razak, yang juga sebahagian daripada kumpulan aktivis Otai Reformis 1998, pada 22 Oktober lalu membuat laporan kepada SPRM berhubung kemungkinan salah laku dalam meluluskan 27 plot kuari di rizab itu.

Sambil menggesa tindakan SPRM, beliau berkata ada menerima jawapan melalui e-mel mengatakan siasatan sedang dijalankan tetapi tiada maklumat terkini sejak itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa 27 kuari akan dibuka di kawasan itu, dengan hampir satu pertiga mempunyai kaitan politik atau istana.

Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, Hee Loy Sian berkata, lesen penggalian itu dikeluarkan mengikut proses sewajarnya dan tidak akan menjejaskan masyarakat orang asli di sana.

Bagaimanapun, bekas ketua pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, aktiviti itu akan menjejaskan rancangan FRIM untuk memohon status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Hutan Simpan Bukit Lagong dan kawasan sekitarnya

Author

Pilihan Editor