HomeMV+EksklusifAda tauliah belum layak ceramah agama - Peguam syarie

Ada tauliah belum layak ceramah agama – Peguam syarie

KUALA LUMPUR: Masyarakat masih beranggapan bahawa seseorang individu yang mendakwa memiliki sijil tauliah layak memberi ceramah dalam semua aspek tentang agama.

Sebenarnya, tidak semua yang memiliki sijil tauliah boleh menyampaikan ceramah tentang agama sebaliknya terdapat beberapa kategori seperti pengajaran fardhu ain, mengaji, pengurusan jenazah, motivasi dan perbankan Islam.

Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus berkata, sepatutnya sebelum memberi laluan kepada individu mempunyai tauliah agensi agama negeri, perlu siasat terlebih dahulu kategori tauliah dimilikinya.

“Masyarakat beranggapan eh dia ada tauliah, jadi bolehlah kita bagi dia ceramah di masjid sedangkan tauliah itu banyak kategori.

“Sepatutnya kita tanya tauliah kategori apa, dapat dari mana, macam lesen memandu ada kategori.

“Jadi, timbul isu ada seseorang itu ada tauliah kategori ‘lain-lain’, yang kita faham dalam laman sesawang JAIS, tak ada pun kategori ini kecuali D1,D2,D3,D4.

“Kalau benar ada tauliah JAIS bagi kategori lain-lain ini, ia boleh mengelirukan masyarakat,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa agama negeri, khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyemak semula kategori tauliah dan menambahbaik sistem itu.

Beliau turut menggesa pihak JAIS memperjelaskan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung isu kategori tauliah dimiliki individu tertentu yang tidak tertakluk pada sistem berkenaan.

“Kalau benar ada kategori lain-lain, sepatutnya dimasukkan di dalam kategori tauliah D4, atau di bawah kategori D4. Perkara ini perlu diperjelas pihak JAIS supaya masyarakat tidak memandang serong kepada JAIS.

“Kedua, supaya pihak yang dapat tauliah itu tidak memanipulasi, menyeleweng tauliah diperoleh lebih daripada kategori dibenarkan,” katanya.

Ini kerana beliau juga percaya, kemungkinan ramai yang dapat tauliah bagi kategori D4 daripada JAIS.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, kategori tauliah punca lambakan pendakwah ‘cap ayam’, ustaz jadian dalam negara.

Ia susulan pendedahan seorang wanita, Norlina A mengenai bekas suaminya yang juga seorang pendakwah memiliki tauliah JAIS, meragui status sijil tauliah kerana mendakwa tiada kelayakan bidang agama, tidak pernah mengikuti pengajian bidang agama secara formal dan isu pematuhan syarat tauliah, baru-baru ini.

Beliau dipercayai masih gagal membayar mutaah kepada bekas isterinya selepas perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dikeluarkan tahun lalu, namun memberi alasan bahawa tiada penetapan tarikh yang dicatit dalam Perintah Mahkamah.

Tuntutan mutaah berjumlah RM28,900 itu telah dibuat oleh Norlina.

Terbaharu, media melaporkan, kuliah maghrib pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pada Ahad ini dibatalkan disebabkan penceramah itu tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Pengarah Jabatan JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

Mohd Shahzihan turut menegaskan pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Author

Pilihan Editor