HomeHiburanIsteri Hafidz Roshdi bakal ambil tindakan undang-undang kes orang ketiga?

Isteri Hafidz Roshdi bakal ambil tindakan undang-undang kes orang ketiga?

KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Hafidz Roshdi memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita didakwa orang ketika dalam rumah tangga pasangan itu.

Nurul Shuhada Mat Shukri, dalam satu perkongsian di Instagramnya menyerahkan kepada peguam untuk menangani isu rumah tangganya bersama Hafidz terhadap wanita bernama Athira Yuhada.

“Terima kasih Athira atas cubaan membuat permohonan maaf secara terbuka dan meletakkan kesalahan pada orang lain.

“Ada beberapa perkara yang perlu saya kemukakan kerana disalah tafsir. Kamu berdua berhubung sesama sendiri hingga 25 Januari 2023.

“Kenyataan ini mengikut semua bukti yang saya saksikan sendiri. Saya mempunyai hak memaparkan kepada orang ramai untuk melindungi keluarga saya.

“Namun, saya menyerahkan segala-galanya kepada peguam yang boleh mengendalikan perkara ini dengan cara betul dan lebih beradab,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Jelas Shuhada, suaminya dan Athira berhubung kali terakhir pada beberapa minggu lalu berdasarkan bukti kukuh sekali gus bercanggah dengan penjelasan ditulis Athira semalam dalam Instagram miliknya.

Nurul Shuhada turut menegur Athira supaya tidak menyalahkan Hafidz seorang jika sebenarnya wanita itu turut melayan suaminya kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

“Suka saya menasihatkan agar tidak menyalahkan pihak Hafidz sahaja sejak awak tahu tindakannya tidak benar.

“Kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi dan awak tahu betapa pantasnya perhubungan kalian berlaku.

“Katanya berjumpa pada waktu sekian-sekian tetapi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan sembilan tahun kena mengurat. Wah! hebatnya kamu untuk dikejari,” tulisnya.

Nurul Shuhada bagaimanapun akur untuk memaafkan kesalahan wanita itu tetapi tidak akan melupakan perbuatannya.

“Perkara yang awak lakukan bukan mudah untuk dimaafkan tetapi Allah menyuruh untuk menjadi manusia pemaaf walau seberat mana kesalahan.

“Saya mungkin akan memaafkan awak tetapi tidak pernah melupakannya,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan turut mempersoalkan jika Athira tidak ada rasa bersalah menjadi pemusnah kebahagiaan keluarganya selain menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Awak sendiri cakap simpati dengan kesihatan mental Hafidz? Namun tiada rasa empati kepada golongan wanita yang dikhianati dan anak-anak yang tidak berdosa.

“Takkan tidak ada rasa bersalah sebagai perempuan yang melakukan perkara tersebut selama bertahun-tahun.

“Saya tidak mahu panjangkan isu dan memerlukan masa untuk memujuk anak-anak serta keluarga. Sekali lagi saya berterima kasih atas segalanya yang dilakukan kepada saya dan anak-anak. Semoga Allah mengadili sebaiknya,” luahnya.

Terdahulu, Athira yang diperkatakan namanya di media sosial, mengenai isu rumah tangga pelakon itu tampil membuat permohonan kepada Nurul Shuhada di Instastory.

Athira, turut memohon maaf kepada anak-anak pasangan berkenaan iaitu Humaira dan Umar.

Dalam hantaran sama, Athira mendedahkan, Hafidz cuba menghubunginya sejak sembilan tahun lalu dan dia sudah sedaya upaya mengelak namun keadaan kesihatan mental pelakon itu membuatkan dia rasa simpati.

“Assalamualaikum, saya Athira Yuhada. Saya dengan hati terbuka ingin memohon maaf kepada Shuhada, Humairah & Umar.

“Apa yang saya lakukan ini sangat mementingkan diri sendiri. Selepas Hafidz cuba menghubungi saya beberapa kali sejak sembilan tahun lalu, saya sudah sedaya-upaya cuba untuk mengelak.

“Namun, akhirnya perkara ini berlaku kerana mengetahui keadaan kesihatan mentalnya yang membuatkan saya simpati dan ingin menyokong apa yang dilaluinya,” tulisnya.

Athira bagaimanapun mengakui dirinya lemah dan bodoh namun menegaskan bahawa hubungannya dengan pelakon itu sudah lama berakhir.

“Saya akui saya lemah dan bodoh kerana terjerumus dalam situasi ini. Namun pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa perkara ini sudah lama berakhir.

“Saya tidak lagi berhubung dengan dia dan tidak akan lagi. Saya dengan rendah diri ingin sekali lagi memohon maaf kepada Shuhada, Humairah dan Umar,” tulisnya.

Minggu lalu, Shuhada memberi bayangan rumah tangganya diganggu pihak ketiga apabila wanita itu didakwa berkunjung ke rumah mereka sehingga membuatkan keluarganya kacau-bilau.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar yang berumur dua tahun.

Author

Pilihan Editor