HomeMV+BongkarSkandal MAINS: Tak mahu ke neraka kerana RM300,000 duit zakat

Skandal MAINS: Tak mahu ke neraka kerana RM300,000 duit zakat

BANGI: Tidak mahu diheret ke neraka hanya kerana menerima pampasan RM300,000 bersumberkan kutipan zakat, seorang lelaki telah tampil membuat laporan polis.

Pengadu berkenaan yang berkhidmat di Pusat Zakat Negeri Sembilan dipercayai menerima pampasan berkenaan pada hujung tahun 2019.

Pengadu pada awalnya menyangka pampasan itu adalah daripada dana persaraan namun kebimbangan timbul apabila ia dikatakan adalah upah amil iaitu satu perlapan daripada kutipan zakat RM140 juta setahun.

Atas kesedaran mahu mencari rezeki yang halal dan Toyyiba beliau telah membuat laporan polis pada November 2022.

Pada 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengklasifikasi skandal zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai No Further Action.

Ini menimbulkan persoalan kenapa begitu mudah SPRM bertindak sedemikian?

Adakah faktor teknikal iaitu pengurus tabung tidak melaporkan kehilangan duit, jadi apabila tiada yang mengadu hilang duit sudah tentu tidak menepati kriteria mendatangkan kerugian bagi meneruskan siasatan.

Dalam pada itu, sumber MEDIA VARIASI turut mengetengahkan pelbagai persoalan yang harusnya dijawab oleh MAINS.

“Adakah kakitangan pejabat zakat dari CEO hingga kerani telah difatwakan sebagai amil? Iaitu golongan yang layak terima zakat bagi tujuan urus tadbir?

“Sehingga kini, wang diagihkan kepada 54 kakitangan atas nama pampasan tetapi tiada seorang hilang kerja, mereka cuma digabungkan di bawah Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan dan masih menerima gaji dalam proses gabungan itu.

“Kecelaruan apakah ini? Adakah babak dalam Ali Baba dan 40 Penyamun dan juga Nujum Pak Belalang benar-benar wujud seperti skrip P Ramlee, satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau, dua untuk aku.

“Adakah wang potongan gaji pencarum-pencarum zakat turut menyumbang kepada pampasan ini?

“Amat malang kerana agensi agama yang sepatutnya mengetahui halal haram, tidak perlu membeli nombor ekor untuk dapat ratusan ribu seorang apabila RM7.2 juta itu diakikahkan beramai-ramai.

“Kenapa dalam ramai-ramai itu hanya seorang yang tampil membuat laporan dan tidak rela pampasan RM300,000 menjadi wang deposit ke neraka An Nar.

“Sekarang kita perhalusi seandainya jumlah itu dilaburkan dalam institusi perbankan Islam?

“Berapa ramaikah keluarga miskin yang sepatutnya menerima manfaat daripada wang RM7.2 juta yang diakikahkan itu?

“Adakah pengurusan zakat mahu mencipta rekod sebagai kakitangan T20 dalam hal ehwal pengurusan zakat,” katanya.

Polis pada 9 Februari lalu, mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kes tersebut masih dalam siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

SPRM Negeri Sembilan pula mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

Ia malah pernah diklasifikasikan No Further Action (NFA) pada tahun 2020 oleh SPRM.

Bagaimanapun, siasatan dijalankan semula oleh SPRM susulan baru-baru ini, tular semula dokumen yang mempamerkan wujudnya salah laku pembayaran pampasan ‘luar biasa’ sebanyak RM7.2 juta kepada 54 kakitangan Pusat Zakat Negeri Sembilan.

MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Turut tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut.

Menurut sumber, pengurus besar pusat zakat bergaji RM20,000 sebulan manakala pegawai-pegawai lain mendapat pendapatan hampir belasan ribu sebulan.

Seramai 54 kakitangan menerima pampasan antara RM40,000 hingga RM680,000 pada tahun 2019.

Dan pengurus besar berkenaan menerima RM680,000, itu antara punca siasatan dibuka semula.

Author

Pilihan Editor