HomeEkspresiKota A Famosa 'port' wajib singgah di Melaka

Kota A Famosa ‘port’ wajib singgah di Melaka

 

KOTA A Famosa bermaksud termashyur dalam bahasa Portugis. Kota ini dibina pada tahun 1511 selepas Portugis berjaya menawan Melaka.

Kota yang penuh dengan tinggalan sejarah ini terletak di Bandar Hilir Melaka berdekatan dengan Replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul yang merupakan salah satu seni bina di Asia Tenggara.

Pada tahun 1807, kota A Famosa dirobohkan dan diletupkan dengan menggunakan ubat bedilan yang diletakkan dalam sebuah lubang yang digali sehingga menyebabkan batu setebal 4.5 meter berterbangan dan jatuh ke laut.

Ekoran kemusnahan itu, hanya bahagian pintu sahaja yang masih terlihat di kota A Famosa itu yang dikenali Porta de Santiago.

Bagaimanapun, tapak kota itu sehingga kini masih menjadi perhatian umum dek kerana ramai penggiat seni dan peniaga yang dilihat berniaga sekitar kota A Famosa.

Antara yang boleh dilihat adalah pelukis potret jalanan, penjualan kraftangan dan cenderamata, serta kepelbagaian aktiviti seperti pembawa beca atau kuda dan penjaja makanan dan minuman di sekitar kota bersejarah itu.

Selain itu, terdapat beberapa tempat yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong sekitar kota A Famosa seperti menaiki river cruise, mempelajari replika berunsurkan Islam di Muzium Seni Bina Islam, menaiki Duck Tour dan membeli-belah di Jonker Walk.

Pada tahun 2008, Melaka mengisytiharkan bandaraya ini sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di mana pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi dan dapat merasai keunikan reka bentuk seni bina bangunan yang bersejarah sejak daripada dahulu lagi.

Authors

Pilihan Editor