HomeGaya HidupJom MakanBuffet Seri Melayu hilangkan rindu masakan kampung

Buffet Seri Melayu hilangkan rindu masakan kampung

AMPANG: Memahami kehendak citarasa orang Melayu, Buffet Seri Melayu yang bertempat di Flamingo Plaza@Flamingo Hotel mampu hilangkan kerinduan masakan kampung, menambah selera ketika berbuka puasa.

Sepanjang Ramadan tahun ini, Seri Melayu yang sudah terkenal dengan menu popular seperti kambing golek, kali ini turut menyediakan 60 jenis masakan jenis kampung mewah.

Seri Melayu masih mengekalkan resipi warisan turun temurun Melayu dari nenek moyang Cef Mim atau nama sebenarnya, Shameem Norzan, iaitu rendang daging minang.

Sambil menikmati hidangan, pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian dan irama tradisional, selain dilayani oleh tuan rumah, dan saling berbual secara santai sambil mengerat hubungan.

Seri Melayu diusahakan oleh Pengurus Jualan dan Pemasaran Culture Event Management & Hospitality, Syed Budrizz dibantu Pengurus Majlis, Iswandi Ishak.

Iswandi berkata, konsep Seri Melayu di hotel itu lebih kepada kenduri kahwin di kampung, dan menariknya tempahan berbuka puasa sudah pun penuh sehingga akhir Ramadan.

“Untuk menu, 90 peratus daripadanya adalah lauk kampung, ada lima jenis lauk, berasaskan daging, ayam, ikan bakar, tempoyak, kuih muih tradisional.

“Kawasan ini juga mesra pengunjung, tempat letak kereta banyak, ada surau, tarawih pendek juga di sini,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan.

Seri Melayu boleh menempatkan hampir 250 orang pada satu masa dan kini menawarkan pakej bufet RM78 untuk dewasa, dan RM58 untuk kanak-kanak.

Iswandi menambah, pihak pengurusan yang sudah berpengalaman dalam bidang pengurusan majlis kahwin selama 10 tahun itu juga menjalankan operasi pengurusan majlis kahwin di luar hotel pada hari biasa.

Sementara itu, Cef Mim yang dikenali dengan imej Cef bertanjak dengan masakan Melayu berkata, dia mengendalikan masakan menu yang berasaskan rempah ratus Melayu.

“Menu paling istimewa adalah daging rendang minang masak hitam, saya belajar untuk dapatkan resipi asal menu ini sampai ke Ipoh, berjumpa orang lama di sana.

“Seni memasak juga perlukan kemahiran dan ilmu, kita sendiri kena pergi menuntut, jika nak kenal resipi Melayu, ada tertibnya,” katanya yang juga merupakan bekas cef Palace of The Golden Horses Hotel yang sudah berpengalaman selama 12 tahun dalam bidang berkenaan.

Author

Pilihan Editor