HomeBeritaBekalan telur ayam tak cukup, rakyat Terengganu hampir panik?

Bekalan telur ayam tak cukup, rakyat Terengganu hampir panik?

 

CYBERJAYA: Masalah kekurangan bekalan telur ayam kian runcing di Terengganu apabila hanya 400,000 biji sahaja berada di pasaran pada setiap hari.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, bekalan telur ayam itu tidak memadai dengan permintaan harian penduduk di negeri berkenaan yang merangkumi hampir satu juta.

Katanya, bekalan sebanyak 400,000 biji telur ayam itu juga jauh lebih rendah berbanding 600,000 biji sehari yang dibekalkan di Terengganu sebelum ketibaan bulan Ramadan.

“Terengganu tidak mempunyai industri ayam penelur dan terpaksa membawa masuk telur daripada negeri-negeri lain se­perti Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, dan Pe­rak.

“Begitupun permintaan tinggi di negeri pengusaha telur ayam terbabit pada masa ini menyebabkan mereka terpaksa menumpukan pasaran tempatan menyebabkan bekalan di Terengganu telah berkurangan secara drastik,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Tambah beliau, penurunan jumlah bekalan itu meninggalkan kesan mendalam khususnya terhadap pengguna.

“Begitupun, pemeriksaan mendapati telur ayam masih boleh diperolehi pengguna de­ngan hanya masing-masing satu pemborong dan peruncit di ne­geri ini yang benar-benar sudah kehabisan stok.

“Kebanyakan pemborong juga telah mengambil inisiatif me­nempah daripada pengusaha dengan bayaran tunai agar bekalan telur ayam kekal stabil di pasaran,” katanya.

Susulan itu, Saharuddin mengingatkan para pengguna khususnya golongan peniaga tidak melakukan pembelian panik yang hanya memburukkan lagi keadaan.

Tegasnya, pemborong dan peniaga telur juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telur ayam memandangkan ia termaktub dalam barangan kawalan.

“Kita akan sentiasa pantau pembekal dan pemborong di negeri ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor