CYBERJAYA: Faktor kesihatan mental para guru akan sentiasa diperkasa dan dijaga sebaiknya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM komited untuk meningkatkan akses sistem sokongan kesihatan mental kepada guru di seluruh sekolah.
Katanya, pihaknya giat mengenal pasti pelbagai perkara yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental warga pendidik itu termasuk guru duka lara, beban kerja, dan tekanan lain.
“Apabila saya memasuki KPM, isu kesihatan mental guru terus diperkasa dan akses mendapatkan bantuan ini sangat penting tidak kira di mana pun ia menjadi keutamaan untuk diwujudkan.
“Kedua, ia tidak boleh bersifat kepada guru sahaja, murid-murid juga perlukan sokongan dan ini membawa kepada perkara ketiga yang sedang kita laksanakan iaitu memastikan penglibatan guru-guru bimbingan di mana mereka harus terus meningkat kepada guru kaunseling sekali gus meningkatkan profesionalisme dalam menguruskan isu-isu kesihatan mental secara fokus.
“Selain itu, kita mempunyai banyak program seperti kunjung bantu, kunjung lawat, kunjung kaunseling dan ini semua akan memastikan ekosistem berdasarkan data memastikan guru-guru berada dalam keadaan kesihatan mental yang baik,” katanya seperti dilapor Astro Awani pada Rabu.
Tambah beliau, bagi mewujudkan akses ekosistem kesihatan mental guru yang terjamin, kesemua kementerian perlu memainkan peranan dalam memperkasakannya.
“Saya fikir ini satu pendekatan yang semua kementerian perlu buat dan bukan KPM saja untuk ekosistem itu.
“Peringkat sekolah sekurang-kurangnya kita sedang menuju ke arah itu selari dengan slogan ‘murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara, negara sejahtera’,” ujarnya.